EKONOMI

KERAJAAN DIMINTA BENARKAN GUNA 100 PERATUS RA TERHADAP PENDAPATAN BERKANUN FIRMA PERLADANGAN

27/04/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) meminta kerajaan membenarkan penggunaan 100 peratus elaun pelaburan semula (RA) terhadap pendapatan berkanun syarikat perladangan berikutan keperluan segera untuk mempercepat penanaman semula bagi menangani cabaran penuaan pokok sawit.

Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu turut berharap sokongan kerajaan dalam bentuk insentif cukai tanam semula, sambil menekankan keperluan untuk menyertakan penanaman semula sawit di bawah skim RA sedia ada.

Ketua Eksekutif MPOA Joseph Tek Choon Yee berkata penanaman semula merupakan pelaburan semula, dan langkah untuk memperkukuh masa depan industri selain menjamin rantaian bekalan yang tidak terganggu.

“Sudah tiba masanya untuk tindakan bersepadu bagi memastikan kemampanan dan kemajuan sektor minyak sawit Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.

Menurut Tek, di Sabah, terdapat lebih 500,000 hektar pokok sawit tua berumur 20 tahun ke atas.

Bagaimanapun, katanya ketiadaan penyelesaian mekanisasi yang berkesan, terutama untuk memotong tandan sawit yang tinggi dan mengumpulkan buah relai telah menjejaskan lagi keadaan, menyebabkan kemerosotan hasil dan pengurangan tanaman terutama dalam senario penuaian sawit yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan langkah penanaman semula yang strategik, selari dengan kitaran penanaman untuk memastikan profil umur yang seimbang di ladang, mengurangkan risiko dan menggalakkan daya tahan.

MPOA yang mewakili lebih 40 peratus daripada keseluruhan penanaman sawit di Malaysia, menganjurkan seminar satu hari mengenai keperluan penanaman semula sawit di Sandakan, Sabah yang dihadiri oleh lebih 350 pihak berkepentingan industri.

Seminar itu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, menggariskan kepentingan menangani isu pokok sawit tua dengan mempercepat penanaman semula untuk mengekalkan kesinambungan perniagaan rantaian bekalan dan daya saing industri.

 Sementara itu, Chan dalam ucapannya menyambut baik usaha penanaman semula Sabah pada tahun lepas di tanah ladang seluas 61,421 hektar, menunjukkan kadar ketara sebanyak empat peratus setahun di negeri itu pada 2023, peningkatan yang signifikan berbanding 36,218 hektar pada 2022.

Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kawasan penanaman semula Sabah menyumbang 47 peratus daripada jumlah penanaman semula di Malaysia sebanyak 131,917 hektar pada 2023.

Chan turut menggesa semua pemain industri untuk menyahut cabaran akan datang berikutan penuaan dan pokok sawit  tinggi, justeru yakin dan sanggup untuk melabur semula bagi mempercepat penanaman semula.

“Bagi meningkatkan pengeluaran domestik dan menguruskan kepentingan pihak berkepentingan, kerjasama dan bantuan entiti minyak sawit utama adalah penting untuk menjalankan usaha penanaman semula.

“Pendekatan strategik ini adalah penting untuk memastikan daya maju ekonomi industri minyak sawit yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan