AM

PROGRAM KKDW BANTU PEMBANGUNAN, PENDUDUK LUAR BANDAR

10/05/2024 12:14 AM

KINABATANGAN, 9 Mei (Bernama) -- Lebih 2,000 penduduk luar bandar mengambil peluang mengunjungi Program Sentuhan Kasih Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Keusahawan Desa Madani selama dua hari di Dataran Tamu Sukau di sini hari ini.

Program berkenaan yang bermula hari ini merupakan satu usaha pemerkasaan usahawan luar bandar di bawah KKDW untuk memartabatkan produk serta perkhidmatan usahawan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Dewan dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas merasmikan program itu berkata ia merupakan kesinambungan kepada program di peringkat nasional, dan KKDW memilih Sukau di Kinabatangan ini sebagai salah sebuah kawasan yang perlu diberikan tumpuan pembangunan selain membantu penduduk luar bandar.

"Agensi di bawah KKDW antara lain membantu memberikan kursus serta latihan keusahawanan antaranya seperti agensi KEMAS yang menganjurkan program latihan dan pembiayaan kepada usahawan

"Hari ini adalah pameran hasil produk yang dikeluarkan oleh usahawan luar bandar sebagai suatu galakan dan usaha memasarkan produk milik mereka," katanya.

Ahmad Zahid berkata pihaknya juga bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bagi memberi latihan berkaitan inap desa kepada usahawan berkaitan, selain memberi pembiayaan menaik taraf atau membaiki inap desa.

Pada program itu 38 gerai serta pameran dibuka, selain empat kaunter bergerak, di samping penyertaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang terlibat dengan program Jualan Rahmah.

Sementara itu pemilik kedai kek di Kinabatangan, Mama Faiz Bakery Suhaila Mohd Jukin, 48, berkata Progran Sentuhan Kasih Desa KKDW dan Keusahawanan Desa Madani merupakan medium untuk usahawan di daerah ini 'mendedahkan' produk mereka kepada pihak luar.

"Ini secara langsung dapat membina rangkaian kerja, dan program seumpama ini merupakan suatu rahmat kepada usahawan Kinabatangan, dan program ini juga boleh bertukar-tukar jualan sebagai review," katanya yang bermula dengan membuat kek di rumah pada 2005.

Bagi pengusaha batik dari Lahad Datu, Hayati Tatuh, 50, beliau gembira mendapat manfaat daripada program oleh KKDW itu, kerana ia memberi peluang kepadanya untuk mempromosi jualan batiknya.

"Saya mengusahakan batik tie-dye termasuk batik shibori, dan saya sudah berkecimpung dalam perusahaan batik ini sejak 2008, kami menghasilkan batik di baju, beg termasuk bandana dan kraf tangan berasaskan manik," katanya yang juga mendapat tempahan dari pusat kraf tangan dan agensi pelancongan di Semporna.

Pada program itu kaunter bergerak Jualan Rahmah antara yang menjadi tumpuan pengunjung untuk berbelanja dan Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata 242 Jualan Rahmah telah diadakan di Sabah setakat ini.

"Hari ini kita bersama dengan Jualan Rahmah bergerak, ada lori bawa barang-barang keperluan asas, dan antara barangan yang selalu habis cepat ialah minyak dan gula, barang lain pun laku juga," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan