BERITA TERGEMPAR   Selangor FC pulls out of 2024 Charity Shield match, stating it will not compromise on team safety | 
 AM

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA: BAUCAR E-DOMPET RM20 MENANTI 1,000 PENGUNJUNG TERAWAL

27/04/2024 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kira-kira 1,000 pengunjung terawal berpeluang mendapatkan baucar e-dompet bernilai RM20, di Jualan MADANI Program MADANI Rakyat Zon Utara yang akan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Mei ini.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Dasar Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Zikril Abdullah berkata inisiatif pendigitalan sektor peruncitan itu, bertujuan menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan peniaga dan pengguna.

“Pada program ini kita akan bawa beberapa syarikat yang akan menawarkan perkhidmatan e-dompet atau tanpa tunai dan kita menggalakkan para peniaga di tapak pesta tersebut, untuk sertai dan berdaftar dengan pihak berkenaan untuk menawarkan (pembayaran  tanpa tunai) kepada pengguna di tapak pesta.

“Antara rakan strategik yang terlibat pada program kali ini bagi e-dompet ialah Touch 'n Go, Maybank dan juga pihak-pihak lain yang terlibat,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Muhamad Zikril berkata antara barangan yang dijual pada program ini termasuklah beras, minyak masak, ayam dan sayuran, serta menawarkan potongan harga 10 peratus hingga 30 peratus bagi barangan keperluan tertentu.

Beliau berkata jualan MADANI kali ini juga menggabungkan enam segmen kementerian berbeza, yang menawarkan perkhidmatan dan jualan terus kepada rakyat.

Antara kementerian terlibat ialah KPDN menerusi Program Jualan Rahmah MADANI, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM-Jualan Agro MADANI), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Komunikasi (Telco MADANI).

Program MADANI Rakyat Zon Utara merangkumi tiga negeri di utara semenanjung iaitu Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Ahmad Jefry Aziz@Adan berkata sebanyak 196 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan, disediakan untuk pengunjung Program MADANI Rakyat Zon Utara.

Program MADANI Rakyat 2024 merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun  lepas.

Ia merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

Program MADANI Rakyat Zon Tengah anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui PACU, KPKM dan kerajaan Selangor, telah berlangsung pada 23 hingga 25 Feb di Kompleks Sukan Kuala Selangor, melibatkan negeri Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan