AM

ASM ALU-ALUKAN KERJASAMA RAKAN KONGSI WILAYAH UTARA MAJUKAN SEKTOR E&E

09/05/2024 02:05 AM

BATU KAWAN, 8 Mei (Bernama) -- Akademi Sains Malaysia (ASM) mengalu-alukan rakan kongsi industri dan penggubal dasar di kawasan wilayah utara untuk menjalin kerjasama sebagai usaha menangani kekurangan tenaga mahir dan keperluan mendesak bagi merangsang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor elektrik dan elektronik (E& E) di negara ini.

Presidennya Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata usaha berkenaan penting dalam menggerakkan Malaysia meningkatkan rantaian nilai menerusi pembangunan teknologi baharu dan melahirkan bakat khusus yang menyokong pertumbuhan tinggi termasuk dalam bidang pemasangan, pengujian, pembungkusan serta reka bentuk litar bersepadu.

 "Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) industri E&E disasarkan untuk menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, berbanding RM86.1 bilion pada 2020.

"Sehubungan itu, usaha ASM untuk bekerjasama dengan rakan kongsi di wilayah utara ini bermatlamat memberi sumbangan bermakna ke arah mencapai sasaran ini,” katanya kepada pemberita pada Jerayawara ASM Wilayah Utara 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata siri jelajah itu penting memandangkan ia satu daripada inisiatif ASM untuk berkunjung ke semua negeri bagi membolehkan mereka lebih memahami peluang untuk bekerjasama dan membantu rakan industri dalam bidang-bidang penting.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan berkata Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mengutamakan R&D, aktiviti berteraskan teknologi serta perkongsian strategik bersama pakar akademik untuk memperkukuh sektor bernilai tinggi di wilayah utara.

Beliau berkata inisiatif terbabit khususnya menekankan industri E&E menerusi pelaksanaan program Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

“Berpandukan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030, NCIA amat komited untuk memupuk persekitaran yang inovasinya berkembang pesat, perniagaannya berkembang maju dan masyarakat akhirnya akan menerima manfaat dan kemakmuran,” katanya.

Jerayawara ASM Wilayah Utara 2024 dengan kerjasama NCIA telah menarik peserta dalam talian dan fizikal termasuk industri, agensi kerajaan, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat pemula dalam perbincangan 10-10 Siri Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) dan Kopitiam Inovasi serta IdeaXchange ke-39 yang menumpukan terhadap teknologi pintar berkaitan industri E&E.

Program sehari itu turut mengetengahkan inisiatif ASM dan pelbagai program antaranya Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP), Rangka Kerja 10-10 MySTIE, e-estidotmy, Kesihatan Planet, Sains Komunikasi dan peluang kerjaya.

Jelajah seterusnya dijadual diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru pada 12 Jun.

Menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2022, sektor E&E terus menjadi penyumbang utama kepada eksport Malaysia, dengan merekodkan eksport bernilai RM593.5 bilion atau 38.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan