JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM BELI 20 EKOR ANJING PENGESAN DADAH LIBATKAN KOS RM1.9 JUTA

26/04/2024 03:55 PM

NILAI, 26 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam proses perolehan 20 ekor anjing pengesan dadah serta tiga unit mesin pengimbas 'backscatter' bagi memastikan usaha membanteras penyeludupan dadah di negara ini lebih efektif.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata pihaknya akan menerima anjing pengesan iaitu jenis Labrador dan German Shepherd melibatkan kos RM1.9 juta, Jun ini.

"Ketika ini Kastam mempunyai 20 anjing pengesan dadah, perolehan baharu ini juga 20 ekor akan diletakkan di setiap negeri. Bagi kos mesin backscatter itu saya tidak mempunyai maklumat terperinci.

"Kita juga sedang mengkaji sistem pengesan diguna pakai seperti di Korea Selatan kerana di sana ada sistem saringan canggih dan kita harap sistem digunakan itu nanti ialah mesin pengimbas yang mempunyai keupayaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan dadah," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Kastam, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan menerusi sistem imbasan digunakan di Korea Selatan itu, semua bungkusan disaring dan imej itu dihantar kepada kumpulan pegawai kastam yang bertugas dalam bilik kawalan.

Menurutnya kira-kira 20 pegawai kastam yang berada dalam bilik kawalan itu akan mengenal pasti imej barangan dihantar daripada kurier melalui skrin disediakan dan sekiranya terdapat barangan mencurigakan, syarikat kurier terbabit akan dipanggil untuk pemeriksaan lanjut barangan tersebut.

Dalam pada itu Sazali berkata bagi suku pertama tahun ini, JKDM merekodkan rampasan 139 kes narkotik bernilai RM29.556 juta melibatkan lima jenis komoditi narkotik dan perkhidmatan kurier merekodkan 73 peratus daripada jumlah perolehan kes.

Beliau berkata rampasan melibatkan 27 kes Methaphetamine dengan nilai RM27 juta selain lima kes heroin, tujuh kes ekstasi, 56 kes ganja dan dua kes ketamin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan