AM

PEMIMPIN LUAR PUJI PERANAN MALAYSIA ANJUR PERSIDANGAN ANTARABANGSA KETUA- KETUA AGAMA

07/05/2024 10:33 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Beberapa pemimpin luar memuji peranan Malaysia dalam menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama.

Mufti Estonia Ildar Muhhamedsin berkata tindakan Malaysia menjadi contoh yang baik kepada negara-negara lain.

“Ini adalah kali pertama saya melawat Malaysia tetapi Alhamdulillah, saya telah banyak membaca mengenainya sebelum ini dan saya tahu Malaysia mempunyai tempat yang istimewa dalam dunia Islam.

“Selain itu, terdapat pelbagai bangsa dan agama yang berbeza tinggal di Malaysia tanpa permusuhan dan kontroversi sebagai satu masyarakat dan ia adalah contoh yang paling menonjol untuk dicontohi dunia,” katanya kepada wartawan Meja Bahasa Arab Bernama.

Bagi bekas Mufti Australia Abdul Quddus Al-Azhari, persidangan itu memberi peluang yang benar-benar indah kepada beliau dan menyifatkan ia sebagai pengalaman pertama bertemu dengan pelbagai pemimpin agama dari latar belakang berbeza.

“Alhamdulillah, ini merupakan penyertaan pertama saya dalam persidangan sebegini terutamanya di Malaysia.

“Mengenai persidangan ini, saya percaya pemimpin agama dari seluruh dunia mesti sedar bahawa inilah masanya untuk memainkan peranan penting dan berusaha untuk menyatukan masyarakat (Islam di peringkat antarabangsa),” katanya.

Duta Sudan ke Malaysia Hassan Abdelsalam Omer pula berkata beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penganjuran persidangan itu sebagai platform untuk pemimpin agama saling mengenali dan melihat realiti Islam di peringkat global.

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024, yang bermula pagi tadi, menarik penyertaan kira-kira 2,000 tokoh agama dan cendekiawan dari 57 negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan