DUNIA

MAKMAL BENIH HAINAN HASRAT JALIN KERJASAMA DENGAN NEGARA ASEAN

25/04/2024 02:20 PM

SANYA, 25 April (Bernama-CMG) -- Makmal benih di Sanya, provinsi Hainan berhasrat merapatkan hubungan dengan negara ASEAN menerusi jalinan kerjasama dan program pertukaran.

Makmal Benih Teluk Yazhou merupakan antara lokasi dilawati warga media yang mengikuti Program Kenali Hainan "China Up Close" Rakan Media ASEAN pada Rabu.

Difahamkan, makmal itu menjalankan penyelidikan mengenai buah dan sayur tropika serta tanaman pertanian sebelum mengaplikasikan hasil kajian menggunakan kaedah seperti genetik, biologi molekul dan kecerdasan buatan.

Seorang penyelidik di makmal itu, Dr Wang Fuqiang berkata cuaca di Hainan mirip dengan negara ASEAN, selain mempunyai jenis tanaman pertanian yang sama.

Menurut beliau kedua-dua pihak kini menghadapi masalah yang sama dalam mengusahakan tanaman antaranya bagaimana meningkatkan output dan kualiti serta menjadikan tanaman kebal daripada serangan pelbagai jenis penyakit.

Dr Wang turut meluahkan keinginan untuk melakukan program pertukaran dan kerjasama dengan negara ASEAN antaranya projek penanaman sesbania, sejenis tumbuhan berbunga dalam keluarga kacang-kacangan.

Pada masa ini, projek penanaman sesbania yang diperkenalkan di 10 tempat antaranya wilayah Heilongjiang, Shandong dan Mongolia Dalam telah mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan