AM

KPKM, ASEAN-BAC M’SIA BINCANG PASARAN PERTANIAN DI RANTAU ASEAN

04/05/2024 06:56 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) Malaysia membincangkan mengenai peluang untuk menyediakan ruang pasaran lebih luas dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan di rantau Asean menerusi platform majlis berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan perkara itu dibincangkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Pengerusi Asean-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak, ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi itu di pejabatnya, di sini semalam. 

Perbincangan bersama delegasi yang turut disertai Pengerusi Asean-BAC Malaysia  (Pertanian) Datuk Seri Mustapa Mohamed itu turut menyentuh mengenai kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian serta pemindahan teknologi bagi keterjaminan makanan.

“Turut dibincangkan kaedah menangani isu kemerosotan makanan, sisa makanan dan meningkatkan produktiviti dalam sektor agromakanan,” menurut KPKM.

KPKM memaklumkan pihak kementerian telah meminta Asean-BAC Malaysia untuk membantu dan memudah cara penerokaan pasaran Asean oleh pengusaha agromakanan Malaysia. 

“Selain itu, Mohamad juga menekankan kepentingan pengusaha agromakanan untuk mendalami amalan terbaik dalam kalangan negara Asean untuk peningkatan daya saing dan daya tahan sektor agromakanan sebagaimana dilakukan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam,” menurut kementerian itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup yang turut serta dalam perbincangan itu mengetengahkan keperluan bagi merancakkan aktiviti eksport Malaysia ke negara-negara Asean dan berusaha ke arah mencapai imbangan dagangan sektor agromakanan ke suatu tahap yang lebih baik.

Pada pertemuan itu juga, Mohamad turut menjemput delegasi Asean-BAC Malaysia untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 Sep ini. 

“Beliau (Mohamad) mengalu-alukan penyertaan entiti perniagaan atau pihak swasta yang berminat untuk turut serta dalam acara dwitahunan tersebut,” menurut KPKM.

Kementerian itu memaklumkan bahawa pelawaan itu disambut baik oleh Nazir sambil menyarankan agar KPKM mengoptimumkan MAHA sebagai platform strategik bagi meningkatkan jaringan perniagaan oleh entiti swasta dalam negara dan di peringkat Asean.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan