AM

TRAGEDI HELIKOPTER: JENAZAH MANGSA DI PERAK SELAMAT DIKEBUMI, JASAD SIVASUTAN DISEMADI ESOK

24/04/2024 10:38 PM

LUMUT, 24 April (Bernama) -- Urusan pengebumian dua mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak selesai kira-kira 9.25 malam ini.

Jenazah Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir dekat sini.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke rumah bapanya di Taman Bunga Tanjung, Lekir untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarga serta sanak saudara dengan iringan Istiadat Kawalan Jenazah TLDM. 

Jenazah kemudian disemadikan pada 9.25 malam selepas disembahyangkan sekali lagi di Masjid Al-Khairiah Batu 10, Lekir yang diimamkan oleh Imam 2 Mohamad Nizam Mohamad.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak Salbiah Mohamed serta lebih 500 penduduk termasuk ahli keluarga, saudara mara dan masyarakat setempat hadir ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, 41, selamat dikebumikan di  Tanah Perkuburan Islam Jalan Ulu Nor, Sungai Bayor, Selama, kira-kira 9 malam.

Urusan pengebumian itu dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan serta anggota TLDM.

Sementara itu, van yang membawa jasad Lt T. Sivasutan, 31, tiba di kediaman keluarganya di Taman Serdang Jaya di sini pada 5.52 petang.

Beberapa anggota TLDM mengusung keranda mendiang ke dalam rumah bagi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.

Menurut Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan jasad Sivasutan akan disemadikan esok, dan difahamkan upacara persemadian akan diadakan di Tanah Perkuburan Indah Sungai Wangi, Sitiawan pada 9 pagi.

Lapan jenazah mangsa beragama Islam termasuk jenazah Mohd Shahrizan dan Noorfarahimi disembahyangkan di Surau Jumaat Salahudin Al-Ayubi dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat ketenteraan di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh kira-kira 6 petang.

Van yang membawa jenazah mangsa beragama Islam itu tiba di kem berkenaan pada 4.50 petang selepas proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh selesai pada 2.20 petang sebelum dimandi dan dikafankan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan