AM

TINGKAT JUMLAH PELAJAR ANTARABANGSA: KPT RANGKA LANGKAH PERMUDAH PROSEDUR IMIGRESEN

24/04/2024 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka langkah untuk mempermudahkan prosedur imigresen dalam usaha meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa ke Malaysia.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi  Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan perkara itu dalam masa terdekat.

"Saya dimaklumkan bahawa ada negara yang telah meminta supaya proses imigresen (ke Malaysia) dilonggarkan sedikit bagi memudahkan pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di negara kita.

"Kita akan bawa (perkara ini) kepada KDN untuk perbincangan lanjut (dalam masa terdekat)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program Perbincangan Meja Bulat Duta-Duta anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau berkata KPT melalui agensi di bawahnya Education Malaysia Global Services (EMGS) sentiasa mengadakan aktiviti untuk mempromosikan universiti dalam negara kepada dunia luar.

Sementara itu, program perbincangan meja bulat berkenaan telah menghimpunkan 19 duta negara luar ke Malaysia bagi membincangkan perkara berkaitan globalisasi sektor pendidikan tinggi.

 Turut hadir Naib Canselor UTM Prof Ahmad Fauzi Ismail serta Duta Besar dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rokas.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapha berkata program tersebut merupakan peluang terbaik bagi universiti di Malaysia mendapatkan pemahaman lanjut menerusi penglibatan dalam perbincangan dua hala bagi mengenal pasti penyelesaian inovatif yang mampu mengubah wajah pendidikan tinggi.

“Matlamat program ini ialah untuk menggalakkan dialog dan perbincangan yang interaktif mengenai cara untuk meningkatkan reputasi insitusi pendidikan tinggi di Malaysia di peringkat global.

“Ini mampu dicapai menerusi kerjasama dengan KPT dan kedutaan negara-negara luar di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan