AM

GAFEMA SAMBUT BAIK TAJAAN SKSPS, BERI MANFAAT LEBIH 4,000 PENGGIAT SENI

24/04/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) menyambut baik tajaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memberi manfaat kepada 4,500 penggiat seni.

Presidennya Pansha berkata pelbagai manfaat bakal diterima antaranya melalui faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan jenazah, pemulihan dan pinjaman pendidikan.

“GAFEMA menyambut baik langkah Kementerian Komunikasi melalui FINAS dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Perkeso yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tempatan bagi permulaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata FINAS akan menaja 4,500 penggiat seni tanah air di bawah skim itu dengan caruman RM23.30 setiap orang, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.

Menurut Fahmi, inisiatif hasil Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai Kementerian Komunikasi melalui FINAS bersama KESUMA menerusi Perkeso itu adalah 10 peratus daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.

Dalam pada itu, GAFEMA menyarankan Kementerian Komunikasi supaya memberi taklimat terperinci mengenai cadangan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tempatan bagi memastikan ia tidak tersasar daripada tujuan asal seperti yang pernah dicadangkan kepada FINAS.

“Kefahaman caruman Perkeso menjadi prasyarat wajib melalui kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) hanya melibatkan penggiat seni yang terlibat dengan penggambaran.

“Sedangkan ada kategori lain yang perlu dilindungi dan industri juga memerlukan satu pangkalan data setempat industri sebagai rujukan secara dalam talian buat FINAS, penerbit dan penggiat seni menyemak tarikh luput tahunan caruman Perkeso pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan