AM

PENGANJURAN HARI PERPADUAN DI SEKOLAH BANTU TINGKAT PERSEFAHAMAN ANTARA KAUM - SARASWATHY

24/04/2024 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Penganjuran Hari Perpaduan di sekolah menjadi platform terbaik untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Mengambil contoh sambutan Hari Perpaduan 2024 di Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist di sini, beliau berkata program itu dapat meningkatkan persefahaman antara pelajar pelbagai kaum dalam menjayakan sesuatu aktiviti.

"Program seperti ini sangat penting dalam merapatkan lagi persaudaraan antara semua lapisan masyarakat di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis itu hari ini.

Kira-kira 200 pelajar mempersembahkan tarian dikenali sebagai ‘Tarikan Perpaduan’ yang memaparkan kepelbagaian etnik di negara ini meliputi antaranya Melayu, Cina dan India selain pribumi Sabah dan Sarawak.

Pada majlis itu Saraswathy turut melancarkan Buku Anthologi Puisi - Jom Membina, Jangan Membinasa hasil karya 69 pelajar dan 33 guru Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist serta 11 penyair kebangsaan.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Dalam sidang media selepas itu Wong yang telah empat tahun menyertai sambutan Hari Perpaduan di sekolah berkenaan berharap program serupa dapat dianjurkan di semua sekolah di seluruh negara pada setiap tahun.

"Bagus kalau Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara dapat mencadangan supaya program seumpama ini dijalankan di seluruh negara, di semua sekolah mengikut modul yang dibuat Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist," katanya.

Beliau berkata bagi pengamal media pula, kempen Maaf Zahir Batin Hari-Hari #MZB365 telah digerakkan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan media di negara ini untuk mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Bagi Ahmad Zaini, pihaknya bersedia memberikan sokongan kepada mana-mana sekolah yang berhasrat menganjurkan program seumpama itu bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. 

"Saya sebagai (pengamal) media bersama Datuk Seri Wong Chun Wai akan mengambil inisiatif bagaimana kita dapat membantu kementerian dalam memupuk perpaduan, ini satu usaha yang baik dan perlu disokong," katanya.

Sementara itu Bishop Gereja Methodist di Malaysia Bishop Dr T. Jeyakumar berkata program perpaduan seperti yang diadakan hari ini bakal dianjurkan di semua Sekolah Methodist pada masa akan datang dengan mengambil kira kepentingan perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah.

"Bila saya lihat cara sambutan ini diadakan di sini dengan meriah sekali dan wajah murid-murid di sini, saya lihat ada semangat perpaduan yang jelas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan