EKONOMI

MALAYSIA, INDONESIA PERLU BENTUK PAKATAN TINGKAT KEWANGAN ISLAM DI ASEAN - BNM

24/04/2024 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kalangan negara terkemuka dalam ruang kewangan Islam di blok Asean seperti Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama dalam sektor perbankan dan takaful memandangkan prospek teknologi kewangan (fintech) dan kewangan Islam dilihat lebih cerah, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Beliau berkata di samping mengekalkan bidang kuasa dan kerangka yang berbeza, masih sentiasa ada skop untuk pengharmonian dan penstandardan dalam sektor perkhidmatan kewangan untuk mencapai  kelancaran yang lebih tinggi.

“Perkhidmatan kewangan merentas negara terutama penerimaan produk merentas negara yang berbeza akan menjadi lebih lancar (menerusi pengharmonian dan penstandardan). Bagi mencapai hal ini di peringkat penerimaan global adalah sesuatu yang mencabar namun, kita boleh bermula di Asean,” katanya semasa sesi panel bertajuk SEA’s Next Big Fintech Export: Islamic Finance di Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata justeru, kerajaan Malaysia dijangka mencadangkan cara untuk mengukuhkan tawaran kewangannya termasuk teknologi kewangan Islam sebagai antara agenda apabila negara ini menjadi pengerusi Asean tahun depan.

“Oleh itu, saya berpandangan kita boleh bersama dan mengukuhkan kewangan Islam di Asean secara keseluruhan dari segi tawarannya memandangkan sudah ada beberapa kumpulan kerja yang meneliti aspek pengawalseliaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan Zaylani berkata Malaysia mempunyai kerangka keseluruhan, dengan kalangan bank sedia ada boleh bekerjasama dalam teknologi kewangan Islam kerana segmen itu menawarkan banyak peluang untuk melengkapkan sektor kewangan.

Pada 2022, BNM memberikan lesen bank digital kepada lima pemohon yang berjaya seperti diluluskan Kementerian Kewangan termasuk dua pemohon bagi bank digital Islam.

“Bank digital ini perlulah kesemuanya mengenai pendigitalan dan kami membenarkan operasi bukan digital yang sangat minimum kerana jangkaan adalah untuk menjadi digital terutamanya. Justeru, teknologi kewangan Islam mempunyai banyak tawaran untuk melengkapkan operasi itu dan bank digital,” katanya.

Beliau berkata rangkaian produk untuk perkhidmatan kewangan Islam pada masa ini merangkumi hampir kesemuanya yang ditawarkan oleh kalangan bank konvensional.

Bukan sahaja dalam memenuhi keperluan malah juga untuk membuat perbezaan dari segi meningkatkan rangkuman kewangan dan produk dalam ruang kewangan sosial serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan