AM

Aim Menang Anugerah Industri Kewangan Islam Global

01/05/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memenangi anugerah Islamic Finance News apabila dinobat IFN Best Islamic Microfinance Institution, serta menerima dua anugerah di bawah Global Good Governance Awards (3G).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menerusi perkongsian di Facebook rasmi beliau berkata anugerah itu adalah bagi kategori 3G Leadership Award for Microfinance 2024 dan 3G Excellence in Women Award 2024.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada AIM kerana sekali lagi diiktiraf di peringkat dunia apabila menang dua anugerah berprestij dalam industri kewangan Islam global.

“Saya cukup berbangga dengan pengiktirafan yang diterima AIM di peringkat antarabangsa yang membuktikan keupayaan dan kemampuan AIM dalam tadbir urus organisasi yang cemerlang dan peranannya memperkasakan wanita tempatan,” katanya.

Beliau berkata penerimaan anugerah berkenaan adalah sebagai bukti serta pengiktirafan terhadap kecemerlangan, pencapaian dan kepimpinan AIM dalam industri kewangan Islam.

Menurut Ramanan, beliau yakin dan percaya anugerah itu merupakan hasil kerja keras serta komitmen padu seluruh kakitangan yang disokong oleh rakan strategik yang kekal memberikan kerjasama baik untuk AIM.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua warga kerja AIM yang dipimpin Pengarah Urusan Mohamed Shamir Abdul Aziz serta sahabat usahawan AIM seluruh negara.

Menurut catatan itu, Pengarah Urusan REDmoney Group/IFN Andrew Morgan telah menyampaikan anugerah kepada Pengarah Bahagian Operasi Sabah Alwani Safiei di Adress Sky View, Dubai pada 25 April lepas.

Bagi anugerah 3G pula, AIM diwakili Timbalan Pengarah Urusan (Operasi) Jani Izwandy Che Jan menerima dua anugerah tersebut yang disampaikan Pengerusi Global Good Governance Programme Prof Humayon Dar di Shangri-La The Fort Manila di Filipina pada 29 April lepas. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan