AM

WARGA EMAS PANDU LAWAN ARUS DI KUANTAN ADA MASALAH KESIHATAN - POLIS

22/04/2024 03:28 PM

KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Polis mengesahkan warga emas yang memandu secara melawan arus di Jalan Mahkota, di sini yang videonya tular di laman media sosial, mempunyai masalah kesihatan serta tidak lagi kompeten untuk memandu. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata warga emas itu telah hadir menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuantan semalam dan dikenakan notis saman di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan berkenaan. 

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung perkara itu semalam dan hasil semakan Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mendapati kejadian berlaku berhampiran Pasar raya Ekonomi Berjaya, pada kira-kira 11 pagi Jumaat lepas.

“Video tular di laman sosial Facebook 'Areef Adeeb' yang memaparkan kejadian Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan melawan arus telah dikesan, semalam.

"Hasil siasatan mendapati pemandu ketika itu bersama penumpang lelaki berumur 78 tahun yang merupakan abangnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Wan Mohd Zahari menasihatkan pemilik dan pemandu kenderaan supaya memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan baik sebelum memandu supaya tidak membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan