AM

HISTERIA: PELAJAR ASRAMA SMK BATU KIKIR, JEMPOL DIBENARKAN PULANG SEMENTARA WAKTU

22/04/2024 01:15 PM

SEREMBAN, 22 April (Bernama) -- Kesemua 165 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas), Jempol dekat sini dibenarkan pulang sementara waktu susulan kejadian histeria di sekolah berkenaan yang dipercayai berlaku sejak Sabtu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Dr Roslan Hussin berkata hanya 20 pelajar tingkatan enam masih berada di asrama sekolah berikutan terlibat dengan peperiksaan.

“Sekolah tidak ditutup dan pembelajaran adalah seperti biasa, hanya pelajar asrama kita benarkan ibu bapa dan penjaga membawa anak mereka pulang untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

“Berdasarkan maklumat, seramai 50 pelajar mengalami histeria dan kita masih memantau perkara ini. Keadaan ketika ini adalah stabil dan usaha pemulihan sedang dilakukan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira 10 malam tadi sebelum ke lokasi. 

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati 50 pelajar membabitkan 19 lelaki dan 31 perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun didakwa mengalami histeria dengan kejadian berlaku pada waktu Maghrib dan berlarutan sehingga malam tadi.

Susulan itu, tular pesanan suara dan mesej yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut dan meminta pihak berkaitan untuk datang membantu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan