| BERITA TERGEMPAR | LUBNAN RUGI SEHINGGA US$160 JUTA SEHARI AKIBAT KONFLIK - PERSATUAN EKONOMI | |
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Seorang pegawai tentera akan dituduh di mahkamah esok atas pertuduhan membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian serta kecederaan dalam kemalangan pada Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya hari ini.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian penumpang lelaki e-hailing akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur.
“Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan, iaitu 150 miligram alkohol dalam 100 mililiter nafas sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang e-hailing di Mahkamah Trafik,” katanya.
Mohd Zamzuri juga memaklumkan kertas siasatan itu ditaklimatkan kepada Ketua Bahagian Pendakwaan AGC Datuk Masri Mohd Fuad oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham dengan kehadiran pegawai penyiasat kes.
Sebelum ini, polis mengesahkan kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta pada 5.38 pagi 23 April di Kilometer 1.9 lebuh raya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera yang dipercayai mabuk telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemalangan menyebabkan penumpang e-hailing, lelaki Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakan senegaranya wanita berusia 20 tahun dan pemandu e-hailing cedera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial