JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA KILANG TAYAR TERPAKAI DI KULAI BEROPERASI TANPA LESEN DISIASAT

20/04/2024 08:35 PM

KULAI, 20 April (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sedang melakukan siasatan terhadap tiga kilang memproses tayar terpakai di daerah itu yang didakwa beroperasi tanpa lesen dan dikhuatiri boleh mengundang kepada pencemaran alam sekitar.

Yang Dipertua MPKu Mohd Fahmi Salam berkata siasatan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kita pandang serius dengan operasi perindustrian yang boleh mencemarkan alam sekitar. 

"Kita akan lihat sekiranya berlaku pelanggaran peraturan, sama ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) atau lain-lain agensi, kita akan ambil tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Hutan Bandar Kulai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang mendakwa kilang-kilang terbabit beroperasi secara mencurigakan termasuk tidak mempunyai lesen dan dikhuatiri boleh mencemarkan alam sekitar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Baru-baru ini, media melaporkan tiga premis kilang memproses tayar terpakai itu dipercayai menggunakan lesen berbeza berbanding aktiviti sebenar.

Menurut laporan itu, kilang itu juga dipercayai beroperasi secara bersembunyi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan kawasan kilang didapati bertutup, berkunci dan dikelilingi zink.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan