AM

BOMBA AMBIL MASA LEBIH SEMBILAN JAM PADAM KEBAKARAN KILANG PROSES CAT

29/04/2024 08:47 PM

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Pasukan bomba mengambil masa lebih sembilan jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya melaksanakan operasi overhaul bermula 11.30 pagi dan kerja-kerja memastikan sisa bara kebakaran dipadamkan sepenuhnya berakhir 3 petang.

Beliau berkata 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran selepas mendapat panggilan kecemasan pada 6.35 pagi.

“Kerja pemadaman turut melibatkan pasukan dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong, BBP Rawang, BBP Pulau Indah, BBP Damansara dan bantuan bomba dari Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini insiden kebakaran itu di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata operasi pemadaman tiga unit kilang berserta pejabat berkeluasan lebih 10,500 meter persegi itu turut melibatkan bantuan jentera dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Shah Alam.

Sebuah kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, dekat sini pagi tadi namun tiada sebarang kehilangan jiwa atau kecederaan direkodkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan