AM

Sampai Saat Akhir Ayah Masih Fikir Soal Keselamatan Negara - Anak Tun Hanif Omar

20/04/2024 04:02 PM

SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Bekas Ketua Polis Negara Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar disifatkan sebagai seorang yang sangat patriotik dengan meletakkan kepentingan rakyat serta negara melebihi diri dan keluarganya sendiri.

Anaknya Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berkata ayahnya juga sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk sentiasa mencintai dan menjaga keamanan negara.

“Sekitar dua minggu lepas, semasa Israel menyerang kedutaan Iran (di Syria)…beliau berharap (perkara) itu tidak jadi di Malaysia dan sesiapa yang menjaga negara, jagalah elok-elok. Sampai saat akhir masih fikir tentang  keselamatan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Mohammed Hanif di Seksyen 13 di sini, hari ini.

Abdul Rahmat Omar berkata sikap sayangkan negara oleh bapanya yang berusia 85 tahun itu cukup dikagumi kenalan dan ahli keluarga, Allahyarham sanggup berkorban meninggalkan keluarga terutama ketika ibunya, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid melahirkan kesemua lima cahaya matanya. 

“Semasa beliau berpangkat ASP dan DSP, beliau sendiri tidak pernah ada semasa emak saya melahirkan anak-anak. Mak saya memang kena uruskan sendiri sebab beliau sedang bertugas. 

“Malah, semasa arwah kakak saya meninggal dunia, beliau berada di Bangkok bersama Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak yang ketika itu menghadiri perbincangan berhubung penamatan Konfrontasi Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Anak kedua Allahyarham itu berkata sifat dedikasi Mohammed Hanif sangat difahami keluarga kerana bagi mereka jika ayahnya meninggalkan tugas ia seperti mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan jutaan rakyat dalam negara.

Pakar penerbangan berkenaan berkata ayahnya selalu menceritakan detik-detik sewaktu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama ketika menentang komunis dan mampu mengingati seorang demi seorang pegawai serta anggotanya yang menjadi hero pada waktu itu.

Abdul Rahmat Omar berkata ayahnya juga sering mengingatkan anak-anak belajar tentang kesusahan hidup supaya mampu berdikari dan menghargai nikmat keamanan yang dikecapi negara.

“Ayah seorang yang tegas dengan anak-anak. Beliau mahu kami belajar berdikari dan pelajari erti kesusahan dengan cuba menyelesaikan masalah itu sendiri,” katanya.

Mohammed Hanif yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang dilantik sebagai Ketua Polis Negara keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Jan 1994.  

Allahyarham melakar sejarah dalam perkhidmatan Sang Saka Biru sebagai individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara iaitu selama 20 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan