POLITIK

PRK KUALA KUBU BAHARU: PARTI KOMPONEN BN PERLU BANTU CALON KERAJAAN PERPADUAN - MOHAMAD

20/04/2024 03:44 PM

REMBAU, 20 April (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membantu siapa pun calon yang akan bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ini kerana BN menghormati sistem yang diperakukan sebelum ini bahawa parti penyandang akan diberi keutamaan untuk meletakkan calon bertanding dalam PRK.

“Siapa mereka nak turunkan itu kita belum tahu, siapa calon belum tahu kerana kita baru bermesyuarat sekali dan belum tentu juga DAP letak calon.

“Sepatutnya kita mesti bantu kerana orang dah bantu kita, jadi kita patut bantu. Tidak timbul soal tak nak bantu ke tidak, itu tak cantik nampaknya. Kita bukannya bergabung, kita membantu sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang turut dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan MCA dan MIC yang memaklumkan tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan bukan daripada BN.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata semua parti dalam Kerajaan Perpaduan turut membantu calon BN pada PRK Pelangai sebelum ini.

“Kini giliran DAP iaitu pemegang jawatan, persefahaman kita bila berlaku kematian, parti itu yang diberi keutamaan (letak calon). Ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU), kita boleh tukar-tukar kerusi.

“PRU nanti kita belum berunding sama ada nak bersama atau berseorangan, itu terpulang ketika itu. Kita akan buat penilaian sendiri, tidak adil untuk kita buat keputusan untuk PRU ke-16. Kita belum tahu kerana dalam politik satu hari itu panjang, semua boleh berlaku,” katanya.

Terdahulu, Wee ketika ditemui berkata hasrat MCA untuk tidak membantu kempen pada PRK berkenaan sekiranya calon bukan daripada BN sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.

Beliau berkata cadangan itu sudah dipersetujui parti itu sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat MCA semalam.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan