KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Tokoh perbankan Tan Sri Azman Hashim dilantik sebagai Canselor Open University Malaysia (OUM) yang baharu pada Majlis Konvokesyen ke-30 universiti itu hari ini.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pro-Canselor universiti berkenaan selama kira-kira dua dekad, akan menyampaikan skrol kepada sebahagian daripada 7,030 graduan pada konvokesyen berkenaan.
OUM dalam kenyataan hari ini memaklumkan konvokesyen yang berlangsung selama empat hari itu meraikan graduan daripada pelbagai latar belakang, termasuk graduan tertua, Muhammad Tasan, 75, yang menerima Sarjana Pengurusan, dan doktor perubatan Dr Loh Yunn Hua, 72, yang memperoleh Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian.
Menurut OUM, pencapaian mereka diiktiraf melalui Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat, seiring dengan tumpuan universiti itu terhadap pendidikan berterusan.
OUM turut memberi penghormatan kepada Siti Hadjar Mansor Awang Hitam, ahli bina badan wanita yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian.
Sementara itu, Presiden yang juga Naib Canselor OUM Profesor Datuk Dr Ahmad Izanee Awang berkata kepelbagaian latar belakang graduan mencerminkan misi universiti itu dalam meluaskan akses pendidikan tinggi tanpa mengira usia atau keadaan individu.
“Daripada guru, jururawat dan profesional lain sehinggalah kepada selebriti, atlet, malah banduan dalam penjara, para pelajar kami adalah contoh terbaik kepada moto OUM - Universiti untuk Semua.
“Jenama pendidikan terbuka, jarak jauh dan digital kami membolehkan ramai individu bekerja dan belajar pada masa yang sama. Kami berharap OUM akan terus diterima oleh lebih ramai rakyat Malaysia pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial