AM

Pencapaian Ekonomi Positif Bukti Kesungguhan Kerajaan Sabah Bangunkan Negeri - Hajiji

20/04/2024 03:38 PM

KOTA KINABALU, 20 April (Bernama) -- Pencapaian ekonomi positif dalam tempoh tiga tahun lalu menunjukkan kesungguhan kerajaan Sabah dalam mentadbir seterusnya membangunkan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata Sabah telah mencapai beberapa kejayaan ekonomi melalui pelan tindakan pembangunan lima tahun menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Dengan kejayaan ini, saya berani mengatakan bahawa Sabah kini berada di landasan tepat. Beberapa petunjuk ekonomi telah menunjukkan perubahan positif yang mencerminkan masa depan lebih baik untuk Sabah," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin itu diserikan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kira-kira 25,000 orang ramai hadir memeriahkan majlis itu yang dianjurkan buat julung kalinya di Sabah dengan kerjasama antara kerajaan negeri selaku tuan rumah dan Kementerian Perpaduan sebagai peneraju acara.

Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah bagi sambutan berkenaan bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum, etnik, budaya dan agama di negeri itu yang kesemuanya dapat hidup bersama secara harmoni.

"Kami mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakang, agama dan kaum namun kami kekal hidup harmoni. Kami menyambut semua perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Pesta Kaamatan. Inilah keunikan dan kekuatan Sabah," katanya.

Menurutnya, sambutan Aidilfitri MADANI yang dihadiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin tertinggi negara dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan.

“Selari dengan semangat Malaysia MADANI dan agenda besar Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad mengembalikan kegemilangan nama negara di persada global.

"Sabah menyokong penuh perjuangan ini demi negara dan kemakmuran rakyat. Kami di Sabah percaya bahawa keharmonian kaum adalah kunci kepada kemakmuran.

"Ia juga menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan perpaduan. Masyarakat yang bersatu padu adalah masyarakat yang berdaya tahan terhadap unsur negatif yang mengancam perpecahan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan