AM

YTSP PERLIS PERUNTUK RM108,000 BIAYA LAPAN PELAJAR LANJUT PELAJARAN DI PFS

20/04/2024 01:44 PM

KANGAR, 20 April (Bernama) -- Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis memperuntukkan RM108,000 bagi membiayai lapan pelajar tingkatan satu dari negeri itu yang terpilih melanjutkan pelajaran di Penang Free School (PFS) bagi sesi persekolahan 2024 yang akan bermula pada Isnin depan.

YTSP Perlis dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu merangkumi pembiayaan kos pengajian dan kelengkapan sekolah mereka sepanjang tempoh lima tahun proses pembelajaran pelajar berkenaan di PFS.

"Para pelajar yang telah disenarai pendek ini akan menjalani persekolahan mereka bermula tingkatan satu hingga lima di bawah Program Khas Biasiswa YTSP Perlis," menurut kenyataan itu.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan biasiswa kepada pelajar sambil disaksikan ibu bapa dan penjaga pelajar di Galeri Diraja Arau pada Khamis lepas.

Pelajar yang terpilih ialah Ku Muhammad Adam Hakim, Mifzal Rizqin Mohd Reza, Muhammad Ameer Safwan Mohd Shahril Azuan, Firadz Rifqi Mohd Rusli, Muhammad Khairil Iqbal Abdullah, Mikhail Noh Midzar Hamidzar, Muhamad Ezikrisyah Zinual dan Akmal Hafizi Azli Afesham.

Kenyataan itu memaklumkan program berkenaan antara inisiatif YTSP Perlis bagi membuka peluang baharu kepada pelajar terutamanya anak jati Perlis menimba ilmu di satu peringkat lebih tinggi dengan pendedahan sosial yang berbeza dan secara tidak langsung membina jati diri yang mampan.

"PFS mempunyai kesinambungan perhubungan dengan negeri Perlis sejak sekian lamanya kerana tiga generasi pemerintahan Jamalullail ialah alumni bekas pelajar sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin Putra setakat ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan