AM

UTP, LUMILEDS METERAI MOU TINGKAT KERJASAMA AKADEMIA-INDUSTRI

19/04/2024 02:52 PM

IPOH, 19 April (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Lumileds Malaysia Sdn Bhd (Lumileds) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan kerjasama akademia-industri dan memupuk inovasi antara kedua-dua institusi berkenaan.

Menurut kenyataan UTP, kolaborasi itu meliputi pelbagai bidang termasuk penganjuran seminar, ceramah dan forum, pelantikan pensyarah tambahan, mobiliti kakitangan, program latihan pelajar dan projek-projek lain demi manfaat bersama kedua-dua pihak.

Menandatangani MoU tersebut bagi pihak UTP ialah Naib Canselor Profesor Datuk Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib manakala Lumileds diwakili Pengarah Sumber Manusia Deric Chew.

Sementara itu, Profesor Madya Ir Dr Rosdiazli Ibrahim daripada Fakulti Kejuruteraan UTP dan Pengarah Integrasi Teknologi Lumileds Dr Sam Ong Teng San merupakan penandatangan kedua. 

Menurut Mohamed Ibrahim UTP gembira dapat menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan Lumileds menerusi MoU tersebut. 

"Kerjasama strategik ini membuka peluang untuk usaha sama penyelidikan, pertukaran ilmu dan penglibatan industri.

"Menerusi gabungan tenaga dengan Lumileds, kami menyasarkan untuk mewujudkan suatu ekosistem yang dinamik di mana pengalaman ahli akademik dan industri digabungkan untuk menangani cabaran dunia sebenar dan memacu hasil berimpak," katanya.

Sementara itu, Deric menyatakan tenaga kerja berpendidikan tinggi dan bermotivasi di Malaysia telah menjadi kunci kejayaan kepada Lumileds serta penting untuk projek dan cabaran yang bakal didepani syarikat itu pada masa akan datang.

"Kami hargai dan teruja untuk memulakan inisiatif baharu ini bersama UTP," kata Deric.

MoU itu dibentuk atas asas kukuh yang dibina antara UTP dan Lumileds bermula dua tahun lepas.  

Sejak itu, UTP dan Lumileds telah bekerjasama dalam pelbagai projek berimpak, termasuk program sangkutan kakitangan dan mendapatkan projek dana penyelidikan kolaboratif antarabangsa untuk menyokong usaha penyelidikan yang sedang dilaksanakan.

Selain itu, Lumileds turut memainkan peranan pentring dalam mempromosi program pascasiswazah UTP, merangsang peluang akademik dan pembangunan profesional untuk kedua-dua institusi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan