AM

DEBU LETUSAN GUNUNG RUANG TIDAK JEJASKAN KUALITI UDARA PERMUKAAN SABAH, SARAWAK

18/04/2024 06:08 PM

KOTA KINABALU, 18 April (Bernama) -- Awan debu yang terhasil akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia tidak menjejaskan kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata bagaimanapun awan debu terhasil akibat letusan gunung berapi setinggi 725 meter dari paras laut itu pada 9.45 pagi, Selasa lepas, menjejaskan operasi penerbangan di dua negeri berkenaan.

“Ketinggian letusan yang dicerap ialah hingga 55,000 kaki dan awan debu yang terbentuk boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat. MetMalaysia akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Indonesia telah meningkatkan amaran letusan gunung berapi kepada Tahap 4 (Awas) dan menjangkakan gunung berapi itu akan terus aktif serta boleh meletus daripada semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan