EKONOMI

Muhtar Suhaili Dilantik Ceo Baharu Kumpulan Epic

15/04/2024 11:33 AM

KUALA TERENGGANU, 15 April (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mengumumkan pelantikan Muhtar Suhaili sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa pada 17 April, 2024.

EPIC yang juga anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, merupakan penyedia penyelesaian bersepadu minyak dan gas (O&G).

Dalam kenyataannya hari ini, EPIC berkata pelantikan Muhtar yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan itu adalah bagi menggantikan Ridzuan Ali yang tamat perkhidmatan pada 16 April, 2024.

Muhtar yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri O&G, automotif, komoditi, pengurusan pelabuhan, sektor logistik dan tenaga boleh baharu (TBB) adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Curtin University di Australia dan memperoleh Ijazah Sarjana Teknologi Petroleum,” kata kenyataan itu.

Sebelum menyertai EPIC, Muhtar pernah berkhidmat selama 15 tahun dengan syarikat minyak global, Shell dan seterusnya Perodua Auto Corporation Sdn Bhd; menjadi Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia dan dilantik sebagai Pegawai Eksekutif Majlis Kayu-kayan Malaysia pada Disember 2022.

Selain pengalaman kerja di Malaysia dan luar negara iaitu di Belanda dan Jerman, beliau juga mendapat pendedahan meluas hasil daripada lawatan ke 39 negara.

“Misi beliau adalah untuk menjana pertumbuhan perniagaan syarikat di samping memperkasa sumber tenaga modal insan dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian beliau di sektor minyak dan gas,” katanya.

Dalam pada itu, EPIC berkata Muhtar berhasrat menggunakan pengalaman mengendalikan pelbagai projek mega dan pengurusan kontrak perniagaan di peringkat tempatan dan luar negara untuk memacu EPIC ke tahap kejayaan lebih tinggi.

“Menerusi pengalaman dan kepakaran yang luas, Kumpulan EPIC yakin di bawah pimpinan Muhtar, ia mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan Terengganu,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan