PAPAR, 12 Julai (Bernama) -- Sebanyak 16 projek pembangunan fizikal di Mukim Kaiduan di sini yang dilaksanakan di bawah program Kampung Angkat MADANI (KAM) telah siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek untuk KAM Mukim Kaiduan di bawah kementeriannya itu telah dimulakan pada Mei tahun lepas dengan peruntukan RM2.5 juta.
Beliau berkata rata-rata penduduk di Mukim Kaiduan yang terdiri daripada Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikon adalah dalam kumpulan B40 yang tinggal di pedalaman.
“Rata-rata mereka menjana pendapatan menerusi jualan hasil pertanian termasuk golongan wanita yang turun ke tamu seperti di Tamu Kinarut. Mereka keluar dari rumah seawal 1 pagi dengan menempuh jalan mencabar termasuk jambatan gantung yang ada kalanya terkandas disebabkan banjir.
“Inilah antara projek Kampung MADANI, kita bina jambatan dasar atau low level crossing (LLC) baharu di Kampung Ulu Kaiduan supaya penduduk boleh lalui walaupun ketika paras sungai naik,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan projek itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kaiduan di sini hari ini.
Program KAM adalah inisiatif kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar yang bertujuan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses internet dan fasiliti komuniti di kampung-kampung terpilih.
Armizan berkata projek lain termasuk membaik pulih pembetung, membina jambatan baharu dan naik taraf jalan di Kampung Kaiduan dan Kampung Bisuang di samping pembinaan jambatan gantung baharu ke SK Kaiduan serta pembinaan surau dan dewan serbaguna di sekolah itu.
Beliau berkata turut dilaksanakan naik taraf gereja, balai raya dan pembinaan gelanggang sepak takraw baharu di Kampung Bolotikon, membina laluan pejalan kaki berbukit serta pemasangan lampu solar di tiga kampung terlibat.
Armizan berkata pemilihan Mukim Kaiduan sebagai KAM bagi kementerian itu adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan, antaranya tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus.
“Projek yang telah siap disasarkan dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat melalui akses perhubungan dan pengangkutan yang selamat, keselesaan rumah ibadat dan merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk,” katanya.
Armizan berkata bagi KAM tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk pelaksanaannya dengan kementeriannya telah memilih sebuah kampung di Kedah yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita juga teruskan pelbagai program untuk Mukim Kaiduan tahun ini, bukanlah bermakna telah dilancarkan, telah siap projek itu maka kampung angkat itu berhenti begitu saja. Kita teruskan lagi pada tahun ini melihat pula kepada aspek lain bukan hanya fizikal tetapi pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata antara yang menarik untuk dibangunkan di Mukim Kaiduan adalah ekopelancongan kerana kawasan itu mempunyai sumber alam seperti sungai yang cantik dan kekayaan flora serta fauna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial