SUKAN

SKUAD HOKI AIS LELAKI NEGARA TEKAD BURU PINGAT SULUNG DI KUWAIT

14/04/2024 01:48 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Selepas pulang dengan tangan kosong pada dua saingan lepas, skuad hoki ais lelaki negara kini membulatkan tekad untuk bekerja keras bagi membawa pulang pingat pada Kejohanan Hoki Ais Dunia Divisyen IV di Kuwait City, Kuwait yang berlangsung dari 16 hingga 19 April ini.

Penolong pengurus pasukan kebangsaan Muhd Fadzli Amin Muhd Yusoff optimis sasaran itu mampu dicapai skuad kebangsaan pada penampilan ketiga kejohanan berkenaan memandangkan mereka telah menjalani persediaan rapi sejak November lepas.

“Berdasarkan komitmen tinggi para pemain negara serta pelbagai program disusun barisan kejurulatihan, saya harap pemain dapat berikan persembahan terbaik di Kuwait.

“Walaupun kita kurang bernasib baik pada dua edisi lepas, namun kesemua pemain kini dilihat bersemangat memperbaiki prestasi dengan membawa pulang pingat dan seterusnya menjadi detik bersejarah buat sukan hoki ais negara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini.

Malaysia yang membuat penampilan sulung pada tahun 2022 meraih tempat keempat pada Divisyen IV berlangsung di Bishkek, Kyrgyzstan dan seterusnya dinaikkan ke Divisyen III B di  Sarajevo, Bosnia and Herzegovina tahun lepas.

Bagaimanapun skuad negara gagal menyerlah dan tewas di kesemua lima perlawanan pada Divisyen III B dengan menduduki tempat tercorot, sekali gus diturunkan kembali ke Divisyen IV tahun ini.

Muhd Fadzli mengakui persediaan kurang rapi pasukan kebangsaan merupakan antara punca utama kegagalan mereka pada saingan di Sarajevo.

Justeru beliau berkata Persekutuan Hoki Ais Malaysia telah mengorak langkah dengan melantik Mikhail Dolinin dari Rusia sebagai ketua jurulatih pasukan hoki ais lelaki kebangsaan untuk tempoh dua tahun bermula November lepas.

Katanya pengalaman jurulatih berusia 34 tahun beraksi dalam pelbagai saingan antarabangsa sebelum ini amat ditagih pihaknya bagi meningkatkan prestasi Malaysia di pentas dunia selepas ini.

Selain Dolinin, Muhd Fadzli berkata mereka turut merekrut khidmat rakan senegaranya, Artem Bortovskiy serta warga Jepun, Kazunori Miura, yang akan bertindak sebagai pembantu jurulatih skuad negara.

Sementara itu menurutnya beliau menjangka skuad negara bakal berdepan cabaran getir dari Mongolia dan tuan rumah pada saingan empat pasukan dalam Divisyen IV yang turut disertai Indonesia.

Malaysia akan membuka tirai kempen Kejohanan Hoki Ais Dunia Divisyen IV di Kuwait Ice Skating Rink berdepan tuan rumah pada 16 April diikuti menentang Indonesia (18 April) dan mengakhiri saingan bertemu Mongolia (19 April).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan