AM

Daripada Hobi Koryou Kini Bergelar Pencipta Wangian

14/04/2024 11:15 AM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR 14 April (Bernama) -- Bermula sebagai pengumpul minyak wangi sejak bangku sekolah, Koryou Xing, tidak menyangka hobinya itu bertukar kepada kerjaya sepenuh masa sehingga beliau kini bergelar pencipta wangian dengan jenamanya sendiri.

Koryou, 31, yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pengiklanan berkata idea itu tercetus selepas beliau menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli wangi-wangian berjenama tempatan dan luar negara kerana meminati kepelbagaian aroma daripada wangian tersebut.

Disebabkan itu, anak jati Kuala Lumpur ini merasakan sudah tiba masanya mencipta wangian premiumnya sendiri dan seterusnya berkongsi dengan  para peminat minyak wangi.

“Saya memang peminat minyak wangi sejak kecil lagi. Setiap kali keluar ke mana-mana  memang wajib sembur minyak wangi dan sebab itu saya tak kisah habiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membelinya.

“Maka satu hari itu terfikir memandangkan saya bekerja dalam bidang pengiklanan, jadi apa salahnya jika saya gabungkan pengalaman kerja dan hobi untuk mencipta aroma minyak wangi yang premium tetapi mampu dimiliki semua orang,” katanya kepada Bernama.

Koryou berkata pada awal penglibatannya sebagai pencipta wangian, beliau terlebih dahulu membuat  lilin wangi pada 2019 sebelum perniagaannya dikembangkan kepada menjual minyak wangi yang kini mempunyai 10 jenis minyak wangi.

Menurutnya wangian yang menggunakan bahan-bahan dari luar negara itu berkonsepkan  ke arah kehidupan seharian dan mempunyai memori tertentu yang sudah pasti mampu mengamit kenangan pemakainya.

“Setiap minyak wangi ciptaan saya mempunyai cerita tersendiri dan pemakainya boleh faham dengan jalan cerita yang ingin disampaikan. 

“Misalnya, saya mempunyai pelanggan yang menitiskan air mata ketika menghidu salah satu wangian yang saya hasilkan kerana baunya itu mengingatkan dirinya kepada neneknya yang sudah meninggal dunia,” katanya yang mempelajari sendiri cara menghasilkan minyak wangi melalui pembacaan buku dan YouTube.

Selain menjual minyak wangi hasil air tangannya, pelanggan ke kedainya di Sentul di sini turut berpeluang merasai pengalaman mereka wangian ciptaan sendiri pada harga yang berpatutan.

Katanya, sebelum menghasilkan minyak wangi yang diinginkan, mereka perlu terlebih dahulu menjawab kuiz personaliti diri supaya minyak wangi yang akan dihasilkan lebih sesuai dengan karakter masing-masing

“Di kedai saya kita bukan sahaja menghasilkan minyak wangi, tetapi saya memberikan tips kepada pelanggan bagaimana mereka boleh cipta wangian melambangkan keperibadian si pemakai mengikut citarasa mereka.

“Kebiasaannya yang buat wangian sendiri ini selalunya pasangan, Malah orang juga boleh kenal karakter pasangan masing-masing dengan lebih dekat waktu menghasilkan wangian,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan cabaran bergelar pencipta wangian, Koryou berkata kerjaya itu memerlukan dirinya untuk lebih kreatif dalam menghasilkan bau yang menarik dan unik.

Katanya, beliau juga belum mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa memandangkan mahu memperkukuhkan penjenamaan produknya terlebih dahulu.

“Saya ada rancangan untuk meneroka pasaran antarabangsa tetapi bukan ketika ini sebab sekarang semua benda kena buat sendiri seperti menghasilkan wangian, menghantar tempahan melalui perkhidmatan kurier atau pos dan menjaga kedai.

"Pada pendapat saya, kalau jenama ini nak masuk pasaran luar negara maka ia perlu  strategi dan jenama yang bagus. Mungkin pada masa akan datang kalau dah stabil, saya  mungkin memperluaskan bisnes ini,” katanya yang turut mempunyai pelanggan dari luar negara.

--BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan