AM

Ilp Kangar Julung Kali Tawar Program Tvet Tahfiz

14/04/2024 10:37 AM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

KANGAR, 14 April (Bernama) -- Buat julung kali Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar menawarkan Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz untuk meningkatkan kebolehpasaran golongan yang memiliki latar belakang sekolah agama dalam bidang kemahiran di negara ini.

Pengarah ILP Kangar Ts Mohd Yusri Mohd Rahim berkata dua program kemahiran ditawarkan menerusi program berkenaan iaitu Teknologi Kimpalan Arka dan Gas serta Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal bagi tempoh sepenuh masa selama tiga bulan.

"Kami bekerjasama dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dan juga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk proses pengambilan serta kemasukan pelajar tahfiz ini sama ada dari madrasah dan sebagainya. Tawaran ini juga terbuka kepada pelajar lepasan sekolah agama.

"Kemasukan bagi program kemahiran TVET Tahfiz ini akan bermula pada penghujung April dan kami menyasarkan seramai 60 pelajar akan mengikuti dua program latihan itu iaitu masing-masing 30 pelajar bagi setiap program,” katanya ketika ditemui Bernama di ILP Kangar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata pelajar yang telah tamat program kemahiran bagi tempoh tiga bulan itu akan diberikan Sijil Modular (Micro-Credential) diperakui Jabatan Pembangunan Kemahiran yang mendapat pemintaan tinggi tenaga kerja dalam industri.

"Ini akan menjadi nilai tambah kepada pelajar tahfiz dan juga lepasan sekolah agama, apabila ada sijil kemahiran ini, mereka boleh bekerja dalam industri dengan mudah. Jika tidak masuk bekerja dalam industri pun mereka boleh bekerja sendiri dengan kemahiran yang ada contohnya kerja-kerja kimpalan,” katanya.

Beliau berkata kelebihan mengikuti program kemahiran TVET Tahfiz di ILP Kangar itu ialah makanan, penginapan dan yuran pengajian adalah percuma selain diberikan elaun bulanan RM100 setiap bulan untuk tempoh tiga bulan itu.

Mohd Yusri berkata kursus keusahawanan turut diberikan kepada pelajar terbabit pada penghujung program kemahiran untuk mendedahkan mereka dengan bidang keusahawanan selain aktiviti hafazan juga akan diselitkan sepanjang tempoh program berlangsung.

"Jadual pembelajaran untuk program kemahiran ini akan bermula dari 10 pagi hingga 5 petang, selepas 5 petang disediakan aktiviti untuk pelajar tahfiz termasuk hafazan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan