KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kemelut politik dan pentadbiran di Negeri Sembilan yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan hubungan antara parti dalam Kerajaan Persekutuan, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata isu berkenaan, yang antara lain melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri tidak mengganggu perihal pentadbiran di peringkat Persekutuan.
“Waktu ini (kemelut itu) tidak beri kesan kepada (kerajaan) Persekutuan. Ini satu perkara yang mungkin unik kepada Negeri Sembilan, tapi di peringkat Kerajaan Perpaduan kita semestinya sangat prihatin tentang apa yang sedang berlaku.
“...dan di peringkat pimpinan, kita tahu PH Negeri Sembilan telah membuat pengumuman semalam dan di peringkat pusat, saya percaya pimpinan akan menetapkan hala tuju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik 2026 di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Konvensyen PH yang akan berlangsung di Johor pada 17 Mei depan akan menjadi platform terbaik kepada parti itu untuk barisan pimpinan mendengar suara akar umbi di peringkat negeri.
“...dan dari situ kita boleh bincang mengenai hala tuju seterusnya yang perlu diambil oleh pimpinan PH,” katanya.
Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN Negeri Sembilan, sebulat suara mengumumkan mereka hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tindakan itu diambil susulan kemelut pemerintahan yang berlaku dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Anwar berkata perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial