SUKAN

JOE EE MUNGKIN BERAKSI DISIPLIN GELUNG DI TASHKENT

14/04/2024 10:18 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022, Ng Joe Ee berkemungkinan beraksi dalam disiplin gelung pada Kejohanan Gimnastik Berirama ke-15 di Tashkent, Uzbekistan, dari 2 hingga 4 Mei ini.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Petrina Low berkata disiplin itu mungkin paling selamat buat Joe Ee bagi mengelak kecederaan lebih teruk pada bahagian belakang yang dialaminya sebelum Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, tahun lepas.

“Setakat ini kami (MGF) hanya merancang untuk dia melakukan satu rutin iaitu gelung. Meskipun doktor memaklumkan tiada apa-apa yang serius, kami perlu berhati-hati.

“Kami tidak mahu merisikokannya, justeru kami memilih gelung kerana tidak memerlukan banyak lentikkan," katanya kepada Bernama.

Petrina bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk Joe Ee bersaing dalam disiplin lain, bergantung kepada kemajuan atlet gimnastik itu menjelang tugasan pertamanya sejak Hangzhou Asiad iaitu Piala Boshporus Gimnastik Berirama di Istanbul, Turkiye dari 19 hingga 21 April ini.

“Selepas kejohanan di Turkiye, gimnas negara akan ke kem latihan di Baku, Azerbaijan dari 22 hingga 30 April sebelum ke Tashkent dari 30 April hingga 5 Mei,” katanya.

Beliau berkata Joe Ee, 18, turut bersama-sama dua gimnas senior, Mavia Wong Weng Qin dan Lai Yun Jo serta dua junior dan enam yang lain untuk acara kumpulan bagi kejohanan Asia akan datang.

Mengakui hakikat bahawa perjalanan getir menanti gimnas negara di Tashkent, Petrina berkata layak ke peringkat akhir akan menjadi pencapaian yang baik untuk mereka.

Kejohanan terbabit juga, katanya menawarkan satu slot terakhir untuk Sukan Olimpik 2024 yang menjadi milik gimnas yang menjuarai acara individu all-around.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung di Paris, Perancis dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Dalam perkembangan lain, Petrina berkata MGF turut menjangkakan dua bekas gimnas negara - Koi Sie Yan dan Izzah Amzan dilantik sebagai penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan, awal tahun depan.

Disember lepas, Petrina berkata Izzah dan Sie Yan yang merupakan bekas pemenang pingat Sukan Komanwel akan diambil bekerja secara sambilan memandangkan mereka masih belajar di institusi pengajian tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan