JOHOR BAHRU, 8 April (Bernama) -- Sebanyak 3,000 ekor ayam dan 1,700 kilogram (kg) daging dijual hari ini bersempena dengan Jelajah Program Jualan Kasih Johor (KASIH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata jualan dengan harga rendah daripada pasaran bersempena dengan perayaan Aidilfitri itu merupakan antara 300 lokasi di 56 DUN di seluruh negeri sepanjang tahun ini membabitkan peruntukan lebih RM5 juta oleh kerajaan Johor.
“Hari ini kita dapat lihat seawal 7 pagi (orang datang membeli barangan) dan harga yang ditawarkan dengan potongan cukup berbaloi. Perkara ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan barangan keperluan kepada umat Islam yang akan meraikan Hari Raya Aidilfitri.
“Selain itu, saya dengan UMNO Bahagian Johor Bahru juga menambil inisiatif dengan menawarkan harga RM26 bagi dua ekor ayam dan dua kilo daging khusus untuk 500 pengunjung terawal," katanya kepada pemberita di pekarangan tempat letak kereta pejabat UMNO Johor Bahru Jalan Suria, Taman Putera di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Hasnah, 42, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli barangan asas dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di pasar raya untuk persiapan Aidilfitri.
“Saya datang ke sini bersama anak dari pukul 8 pagi, syukur sangat dapat beli ayam dua ekor dengan harga RM5 seekor dan daging sekilogram RM8 … terima kasih sebab dapatlah kurangkan kos perbelanjaan untuk memasak buat keluarga raya nanti,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Program Jualan KASIH di seluruh Johor sepanjang tahun ini membabitkan peruntukkan RM5 juta itu bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan asas dan keperluan harian.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 orang menerusi kaedah pengurangan harga bagi produk makanan terpilih seperti ayam, telur, minyak masak dan ikan.
Jualan KASIH yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan FAMA menyediakan 540 tan metrik ayam, 108 tan metrik ikan, 135,000 papan pelbagai gred telur ayam dan 60,000 botol minyak masak untuk dijual kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial