AM

Keunikan Negeri Sembilan Dalam 'sentuhan Magis' Zoro

07/04/2024 02:02 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Terpamer indah di beberapa tempat di pusat bandar Seremban dan daerah-daerah lain, sentuhan magis Zakir Amir Mohd Derus atau juga dikenali sebagai ‘Zoro’ berjaya memanifestasikan keunikan Negeri Sembilan dalam bentuk mural. 

Dengan menyuntik elemen diorama atau tiga dimensi (3D), mural mengenai budaya masyarakat tempatan termasuk makanan tradisional seperti dodol, lemang dan rendang maman itu kelihatan ‘hidup’ sekali gus membawa pengunjung menyelami kehidupan seharian penduduk negeri ini.

Anak tempatan berusia 58 tahun itu mula aktif mencipta mural sekitar 2017 setelah merasakan perlu melakukan sesuatu untuk negeri kelahirannya.

"Saya bermula sebagai pelukis jalanan, dalam sehari jika ada acara, saya boleh melukis 50 hingga 60 potret pelanggan, berbeza dengan melukis mural ini, ia mengambil masa yang lama. 

“Antara mural yang menarik bagi saya ialah di Jelebu, daerah ini istimewa kerana saya berasal dari sana, jadi mural dihasilkan lebih unik, terdapat juga mural lain iaitu Pesona Jelebu yang bercirikan biodiversiti, ekopelancongan, adat dan budaya di daerah tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak itu telah menghasilkan lebih 30 mural menerusi tempahan daripada tadika, kedai makan dan kilang sebelum bakatnya mula dikenali sehingga mendapat kepercayaan untuk berkolaborasi bersama majlis daerah termasuk di Kuala Pilah dan Rembau.

Memperincikan karya muralnya di tiga lokasi di Seremban iaitu di Terminal Satu, Benteng Walk dan di dinding di Jalan Yam Tuan sepanjang 152 meter, Zakir Amir berkata konsep yang diketengahkan lebih kepada masyarakat berbilang kaum yang mencerminkan sosiobudaya penduduk di pusat bandar itu.

Sementara di Rembau pula terpampang mural enam atlet negara yang merupakan anak jati Rembau iaitu atlet olahraga Nur Herman Majid (olahraga), Azman Adnan (bola sepak), Ahmad Farid Abdul Rahman (ragbi), Muhammad Hizlee Abdul Rais (boling padang), Norazura Mod Zin (petanque) dan Abdul Talib Ahmad (sepak takraw).

“Secara purata, tempoh masa yang diambil untuk menghasilkan setiap tempahan mural kira-kira dua bulan termasuk mengambil kira faktor cuaca serta kerja-kerja pembersihan yang perlu dilakukan.

"Alhamdullilah, pihak majlis daerah berpuas hati dengan hasil seni kami, saya gembira apabila melihat pengunjung atau masyarakat di sini menghargai hasil seni ini dengan muat naik gambar di media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkannya, apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab menconteng mural yang dihasilkan dan beliau terpaksa memperkemaskan kembali cat pada lukisan tersebut supaya tidak kelihatan cacat celanya.

Berkongsi tentang bakat seni yang dimiliki, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Ampangan itu berkata dia dan lapan adik beradiknya mewarisi bakat tersebut daripada arwah bapa Mohd Derus Yaakob, namun hanya beliau seorang yang serius dalam bidang itu dan menjadikannya sebagai punca pendapatan.

Sebaik tamat persekolahan, Zakir Amir merantau ke merata negeri menimba pengalaman sebagai pelukis jalanan.

Selain mural, beliau giat menghasilkan lukisan berunsur alam semula jadi dan potret. Hasil karyanya turut dipamerkan dan dijual di Ozzi Art Gallery, Seremban 2.

Seniman itu akan meneruskan projek bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk melukis mural di Lorong Seni dengan tema fantasi kanak-kanak selepas Aidilfitri nanti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan