AM

Permohonan Program Sijil, Diploma Politeknik Dan Kolej Komuniti Dibuka Hari Ini Hingga 10 Mei

03/04/2024 06:59 PM

PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar Sesi 1:2024/2025 ke program sijil dan diploma di 36 politeknik dan 105 kolej komuniti melalui e-Borang MyPolyCC dibuka bermula hari ini hingga 10 Mei 2024, demikian menurut Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my dan pembelian nombor pin tidak diperlukan.

“Permohonan dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia bukan tahun semasa, lepasan sijil politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional dan Institut Tinggi PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang).

"Selain itu, permohonan turut dibuka kepada lepasan Institut Kemahiran Majlis Amanah Rakyat, Institut Pertanian Malaysia dan Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3) bagi semua program pengajian sijil dan diploma politeknik dan kolej komuniti,” menurut kenyataan JPPKK hari ini.

Permohonan juga dibuka kepada pelajar yang tamat pengajian Tingkatan Lima, sekolah pendidikan khas bagi 13 program Pendidikan Eksklusif Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditawarkan di lima buah politeknik dan 13 buah kolej komuniti.

Tawaran berkenaan terhad kepada kumpulan pelajar OKU masalah pendengaran dan pembelajaran.

JPPKK turut memaklumkan melalui agenda peluasan akses, mulai sesi 1 : 2024/2025 lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibuka laluan permohonan ke program diploma politeknik dan kolej komuniti.

Di samping itu, pemilik sijil APEL (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu) juga dibenarkan melanjutkan pengajian ke peringkat sijil dan diploma.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan