AM

Lima Juadah Tradisional Disediakan Pada Festival Kuih Tradisional Dan Pelita Raya

01/04/2024 10:46 AM

JASIN, 1 April (Bernama) -- Bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, kira-kira 800 peserta bergotong-royong menyediakan lima juadah tradisional pada Festival Kuih Tradisional dan Pelita Raya 2024, di Sungai Rambai di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata lima juadah yang dihasilkan menerusi festival anjuran Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai itu ialah kuih bakar, rempeyek, baulu, karas serta dodol.

"Penyertaan amat menggalakkan. Terdapat 20 kumpulan menghasilkan kuih tradisional manakala 19 kumpulan mengacau dodol dengan kira-kira 57 kilogram dodol berjaya dihasilkan.

"Bagi memeriahkan festival itu, kita juga menggalakkan peserta memakai busana tradisional selain mengadakan program berbuka puasa beramai-ramai yang turut disertai ahli keluarga mereka," katanya kepada pemberita pada penutup festival berkenaan di Dataran Riverside Sungai Rambai di sini malam tadi.

Majlis penutup itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Siti Faizah berkata pihaknya turut mengadakan pertandingan pelita raya yang disertai 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sungai Rambai selain agensi dan jabatan kerajaan.

Beliau berkata setiap kampung dan agensi terlibat menghiasi kawasan mereka dengan pelita mengikut kreativiti masing-masing termasuk balai polis dan klinik selain sepanjang jalan raya di Sungai Rambai bermula di Batu Gajah hingga ke tempat festival.

"Kita juga menyediakan hadiah sebanyak RM3,000 bagi pemenang tempat pertama pertandingan pelita ini dan usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang supaya tradisi ini tetap subur dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan