KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia sedang berusaha mencipta sejarah untuk menjadikan negara sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelbagai strategi dan rancangan disusun atur sejak dua tahun lepas, termasuk mengadakan mesyuarat dua hala bersama penyandang jawatan itu dari Mexico, tuan rumah Forum Bandar Dunia 2026 iaitu Azerbaijan serta rakan strategik Iran.
“Sejurus tiba di Nairobi, Kenya, delegasi negara yang diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming terus membuat persiapan pusingan terakhir dalam usaha mengangkat martabat negara sebagai Presiden Persidangan UN-Habitat,” menurut kenyataan itu.
KPKT dalam kenyataan sama memaklumkan Nga turut menyampaikan ucapan dalam mesyuarat pelbagai hala berkaitan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu agenda pembangunan mampan yang dianjurkan bersama oleh Itali dan UN Habitat.
Sementara itu, menerusi mesyuarat dua hala bersama wakil Mexico iaitu Setiausaha Agung Bagi Hal Ehwal Pelbagai Hala dan Hak Asasi Manusia Enrique Javier Ochoa Martiner di Ibu Pejabat UN-Habitat di Nairobi, Malaysia menyatakan hasrat untuk mempelajari pengalaman negara itu sebagai Presiden UN-Habitat sejak 2019, selain mendapatkan sokongan terhadap pencalonan Malaysia.
Nga turut memberi jaminan bahawa Malaysia komited untuk meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan oleh kepimpinan terdahulu serta memperkukuh kerjasama pelbagai hala dalam kerangka UN-Habitat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial