AM

Guru Wanita Cabul Pelajar Direhatkan-fadhlina

29/03/2024 08:53 PM

NIBONG TEBAL, 29 Mac (Bernama) -- Guru wanita yang didakwa mencabul seorang pelajar lelaki dalam kes tular baru-baru ini, direhatkan sehingga siasatan kes itu selesai.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata guru wanita itu, perlu mematuhi sepenuhnya proses siasatan kes itu yang dijalankan oleh pihak polis terlebih dahulu dan kemudiannya Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ketika ini kami (KPM) mengambil pendekatan untuk melindungi anak-anak kita sepenuhnya, jadi guru itu tidak ada langsung kaitan atau pun akses kepada para pelajar, dia direhatkan sehingga siasatan selesai.

“Dia kena mematuhi sepenuhnya proses siasatan terlebih dahulu, jadi buat masa sekarang ini siasatan polis dan dakwaan, barulah kita boleh ambil tindakan di peringkat KPM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Buka Puasa bersama Ahli Parlimen Nibong Tebal di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, di sini malam ini.

Pada majlis itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut menyampaikan sumbangan kepada 21 buah masjid dan 56 buah surau, membabitkan peruntukkan RM140,000.

Media sebelum ini melaporkan, KPM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru wanita yang didakwa menjalin hubungan dengan pelajarnya yang berusia 17 tahun, selepas siasatan polis selesai.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan berkata pihaknya telah merakam keterangan guru wanita berusia 37 tahun itu.

Ibu mangsa membuat laporan polis pada 12 Dis lepas, mendakwa suspek mencabul anaknya ketika mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan