AM

Tpm, Jemaah Menteri Ucap Selamat Menyambut Nuzul Al-quran

28/03/2024 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Jemaah menteri menerusi media sosial masing-masing mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat menyambut Nuzul al-Quran kepada umat Islam di negara ini. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata al-Quran adalah petunjuk dan membimbing manusia ke arah kebaikan dan kebenaran serta meningkatkan keimanan. 

“Bersempena Nuzul al-Quran yang dirai ini, inilah masanya untuk kita mentadabburkan al-Quran serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian,” katanya di laman X hari ini. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berharap semoga umat Islam sentiasa tergolong dalam kalangan orang yang ‘akrab’ dengan al-Quran dan beramal dengan kandungannya, selain mendidik generasi akan datang untuk menjadi generasi celik al-Quran. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pula mengajak umat Islam menyambut kedatangan malam yang penuh barakah ini dengan hati terbuka serta keinginan mendalam untuk menghayati amalan dan ajaran al-Quran bagi memenuhi setiap aspek kehidupan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said juga berharap moga umat Islam di negara ini mengambil segala keberkatan dan pengajaran daripada peristiwa Nuzul al-Quran serta memperoleh keredaan daripada Allah SWT. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut menzahirkan ucapan selamat menyambut  Nuzul al-Quran dan berharap Allah SWT memberkati dan menerima semua amal dan ibadah hamba-Nya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan