EKONOMI

Ncer Disasar Catat Rm367.8 Bilion Pelaburan Direalisasi Menjelang 2030 - PM Anwar

27/03/2024 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan RM367.8 bilion pelaburan direalisasi menjelang 2030 dan menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia menerusi tiga bidang tumpuan baharu. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiga bidang tumpuan baharu tersebut adalah Perkhidmatan Termaju, Pembuatan Bernilai Tinggi dan Pertanian Moden.

Beliau berkata dua pemacu perubahan yang akan menyokong perancangan tersebut adalah amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pelaksanaan penggunaan digital. 

Anwar berkata Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-31 yang dipengerusikannya hari ini telah meneliti beberapa perkara utama berkaitan dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030.

"Bagi tempoh 2021 hingga 2022, NCER telah menyumbang 34 peratus (RM197 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan," kata beliau menerusi hantaran di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) hari ini. 

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu juga membincangkan tentang inisiatif “Facilitation@NCER” dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di wilayah koridor berkenaan. 

"Ini akan melibatkan koordinasi dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital On-Track," katanya. 

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Menteri Besar yang berkenaan sebagai Ahli Majlis NCIA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan