AM

JBPM SIASAT BUTIK TERKENAL INGKAR ARAHAN MASUK PREMIS TERBAKAR

25/03/2024 06:53 PM

ALOR SETAR, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah butik terkenal di Bangi, Selangor yang dipercayai telah mengingkari arahan dengan memasuki premisnya yang terlibat dalam kebakaran.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata siasatan secara menyeluruh itu, bagi mengetahui kejadian sebenar bagaimana pemilik premis berkenaan boleh masuk ke dalam premisnya, walaupun telah dihalang oleh pegawai bomba yang berada di lokasi.

“Kejadian kebakaran itu berlaku bukan di dalam bangunan tetapi di bahagian ruangan tangga yang diletakkan kotak-kotak kosong dan semasa kebakaran, kita dapat lihat beberapa orang awam (pemilik dan pekerja) telah masuk ke dalam premis berkenaan.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa pemilik itu telah melanggar arahan, tindakan perundangan dari beberapa sudut boleh diambil, antaranya menghalang anggota dan pegawai bomba mengawal api kebakaran di dalam premis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kedah, hari ini.

Beliau berkata tindakan larangan yang dikeluarkan oleh pegawainya itu, kerana bimbang dengan keselamatan pemilik dan pekerja butik itu, selain mereka perlu memastikan nyawa penghuni lain di dalam premis, orang awam dan anggota bomba yang bertugas dalam keadaan selamat.

“Terdapat juga kandungan berhubung kejadian, kalau nak buat kandungan sekalipun, jangan sehingga membahayakan dan mengancam nyawa. Mungkin nampak asap kebakaran sikit sahaja, tetapi kalau oksigen berada di bawah 16 peratus, boleh menyebabkan pengsan,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial video butik jenama pakaian terkenal di Bangi, Selangor yang terbakar pada Sabtu dan ia mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai apabila pemiliknya memuat naik video kebakaran berdurasi 50 saat itu, di akaun TikTok miliknya.

Orang ramai mempersoalkan tindakan pemilik butik itu yang sempat membuat video sinematik yang dirakam dari pelbagai sudut, ketika pihak bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.

Terdahulu, Nor Hisham telah menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kedah dan Perlis kepada 82 orang penerima.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan