EKONOMI

MITI JAMIN TERUS PERCEPAT, MUDAH CARA PELABURAN BAGI PERTUMBUHAN EKONOMI - TENGKU ZAFRUL

21/03/2024 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi jaminan untuk terus mempercepat dan memudah cara pelaburan dan pelaksanaan pelan-pelan induk perindustrian bagi memastikan kesemua pelaburan dapat direalisasikan.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah berjaya menarik potensi pelaburan berjumlah sehingga RM76.1 bilion setakat Mac 2024.

Sehubungan itu, adalah penting bagi melaksanakan langkah-langkah kerajaan demi mencapai sasaran kadar pertumbuhan ekonomi antara empat peratus hingga lima peratus bagi tahun ini.

“Pelbagai strategi, termasuk pelan induk perindustrian merupakan pemacu utama (pertumbuhan).

“Oleh itu, (Bank Negara Malaysia menerusi laporan tahunan yang dikeluarkan semalam) telah menggesa untuk memberi tumpuan terhadap usaha pelaksanaan (pelan induk berkaitan),” katanya kepada pemberita di luar Program Industrial Take Off Year 2024 anjuran Concorde Club di Wisma Bernama, hari ini.

Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Menjawab pertanyaan mengenai langkah merealisasikan pelaburan, Tengku Zafrul berkata sebarang usaha berkaitan lazimnya mengambil masa dua hingga tiga tahun.

“Malah, atas alasan ini Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) diperluas dan menerusi Majlis Pelaburan Negara, kita menggesa semua pihak dalam kerajaan, terutama agensi-agensi di kementerian-kementerian, termasuk majlis tempatan untuk bertindak mempercepat keseluruhan proses," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata MITI juga komited untuk memastikan pelaburan yang diluluskan dapat menjadi kenyataan dan para pelabur tidak berdepan masalah tidak sewajarnya.

"Kita juga yakin dapat mula mengumumkan jejak perkembangan (pelaburan) secara lebih teratur. 

“Sebelum ini, kita melakukan (pengumuman pelaburan) setiap enam bulan, setiap setahun namun kini kita mahu meningkatkannya serta lebih telus supaya orang ramai dapat mengetahui proses semasa dan di tahap mana pelaburan itu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga dijangka menghasilkan laporan bulanan yang menyediakan maklumat komprehensif mengenai nilai pelaburan yang diluluskan dan direalisasikan.

Dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2023 yang dikeluarkan pada Rabu, bank pusat itu meminta supaya pelbagai pelan induk industri yang dilancarkan pada tahun lepas, dipercepat dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi.

Antara yang diumumkan kerajaan pada 2023 adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bertujuan mentransformasikan sektor utama seperti pembuatan selain Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi meningkatkan sektor tenaga boleh baharu negara sebagai enjin pertumbuhan.

Menerusi laporan sama, BNM juga mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada empat peratus hingga lima peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus pada 2023, didorong oleh limpahan sektor teknologi, peningkatan jumlah pelancongan serta projek-projek yang dilancarkan.

Selain itu, inflasi, selepas mengambil kira pelancaran subsidi bersasar, diunjur antara dua peratus hingga 3.5 peratus bagi tahun ini, daripada 2.5 peratus pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan