KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada 2025, mengatasi unjuran 4.0 hingga 4.8 peratus, dipacu permintaan domestik yang kukuh serta prestasi eksport yang menggalakkan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia turut berkembang 6.3 peratus pada suku keempat 2025, terutamanya didorong oleh permintaan domestik.
“Pertumbuhan perbelanjaan isi rumah adalah lebih tinggi, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif serta langkah sokongan dasar berkaitan pendapatan.
“Sementara itu, pertumbuhan pelaburan yang kukuh pula disokong oleh peningkatan perbelanjaan bagi mesin dan peralatan, khususnya untuk pusat data, serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan awam,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus bagi keseluruhan tahun 2024 dan 5.0 peratus pada suku keempat 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Rasheed berkata bagi sektor luaran, eksport terus mengukuh terutamanya dipacu oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E).
“Pelancongan masuk serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport perkhidmatan serta lebihan imbangan akaun semasa.
“Pada masa yang sama, import kekal kukuh, didorong oleh pemulihan barangan pertengahan untuk menyokong aktiviti ekonomi serta barangan modal produktif, mencerminkan realisasi projek pelaburan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Dari segi penawaran, beliau berkata pertumbuhan terutamanya disumbangkan oleh perkembangan sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Pertumbuhan lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan didorong terutamanya oleh subsektor berkaitan pengguna, perkhidmatan kerajaan serta subsektor ICT susulan pengoperasian pusat data, katanya.
Dalam sektor pembuatan, prestasi dipacu oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor E&E berikutan permintaan global yang lebih tinggi, selari dengan peningkatan output barangan berkaitan pengguna.
Sementara itu, sektor pertanian mengukuh, mencerminkan pertumbuhan lebih tinggi bagi minyak sawit susulan banjir yang kurang teruk berbanding tahun lepas.
Bagi asas suku ke suku, selepas disesuaikan mengikut musim, pertumbuhan meningkat sebanyak 0.8 peratus.
Abdul Rasheed berkata momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta eksport.
“Dari segi domestik, perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan melalui pertumbuhan pekerjaan dan gaji, serta langkah-langkah dasar kerajaan.
“Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan berterusan projek berbilang tahun di kedua-dua sektor swasta dan awam, dengan realisasi berterusan pelaburan yang diluluskan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP)," katanya.
Abdul Rasheed berkata dari segi luaran, pertumbuhan eksport akan disokong oleh permintaan global yang stabil, terutamanya bagi barangan E&E.
“Pertumbuhan juga akan disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial