AM

Ketua Menteri Melaka Terima Bintang Semangat Padi-perak Ppm

09/03/2024 10:44 PM

MELAKA, 9 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendahului senarai penerima Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), pada Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat PPM Peringkat Kebangsaan di Balai Istiadat di Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau dianugerahkan Bintang Semangat Padi-Perak (BSP-Perak) yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Ketua Pengakap Negara Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin.

Turut menerima BSP-Perak yang merupakan anugerah kedua tertinggi PPM ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti.

BSP-Perak merupakan anugerah eksklusif yang diberikan hanya kepada tokoh terbilang, malahan penerima yang layak hanyalah dalam kalangan pemimpin negeri, negara dan pemimpin pengakap yang telah banyak berjasa.

Pada istiadat berkenaan 300 individu menerima Bintang dan Pingat PPM dan daripada jumlah tersebut sebanyak 15 individu merupakan penerima anugerah dalam kalangan perwakilan asing PPM, antaranya dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pada istiadat itu juga Bintang PPM lain yang dianugerahkan kepada penerima antaranya ialah Bintang Semangat Rimba-Emas (BSR-Emas) dan Bintang Semangat Rimba-Perak (BSR-Perak).

Manakala Pingat PPM yang dianugerahkan kepada pada istiadat itu ialah Pingat Jasa Pengakap (PJP), Pingat Perkhidmatan Gemilang (PPG), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), Pingat Perkhidmatan Lama (PPL), Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Pingat Perkhidmatan Baik (PPB).

Terdahulu, Ab Rauf ketika berucap pada istiadat itu berkata penganugerahan Bintang dan Pingat PPM diharap menjadi pendorong dan penguat semangat kepada penerima untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang dalam PPM khususnya dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia Madani.

Beliau berkata peranan serta sumbangan besar oleh pergerakan pengakap yang begitu aktif dalam  melahirkan pemimpin masa depan sehingga berjaya menghasilkan individu berwawasan, berkebolehan dan bertanggungjawab sekali gus memberi impak positif kepada agama, bangsa dan negara.

"Mewakili kerajaan negeri, saya amat menghargai usaha dan nilai-nilai yang diterapkan dalam setiap program dan aktiviti oleh pergerakan pengakap di negara ini. 

"Saya percaya, usaha ini akan memperkukuh nilai-nilai positif seperti kerjasama, kreativiti, kesedaran sosial dan kemahiran untuk menjadi seorang pemimpin," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan