JENAYAH & MAHKAMAH

Kpdn Johor Sita 33,890 Unit Bahan Bakeri Guna Logo Halal Tidak Sah

06/03/2024 07:43 PM

JOHOR BAHRU, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita 33,890 unit bahan bakeri dan plastik pembungkusan serta dokumen disyaki menggunakan logo Halal tidak diperakui badan bertanggungjawan dalam serbuan terhadap sebuah premis dan stor bahan bakeri di Bandar Seri Alam di sini, semalam.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata serbuan berkenaan dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Halal ke atas premis berkenaan yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah untuk tujuan perdagangan.

“Barangan bernilai RM23,035.20 telah dirampas dalam serbuan disertai enam pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN serta pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi bersepadu ini dijalankan berasaskan aduan awam diterima berkenaan penggunaan logo Halal tidak sah pada produk yang dibungkus oleh sebuah syarikat.

“Hasil pemeriksaan, tindakan kes telah diambil di bawah Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

Lilis Saslinda berkata jika didapati bersalah, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000  dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh dikenakan denda maksimum RM500,000.

Bagi individu pula, beliau berkata denda maksimum RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan, manakala bagi kesalahan kedua denda dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan