JENAYAH & MAHKAMAH

LANS KOPERAL MENGAKU TIDAK BERSALAH TERIMA RASUAH

05/03/2024 02:11 PM

ALOR SETAR, 5 Mac (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 24 pertuduhan rasuah bernilai RM9,600 sepanjang 2017 dan 2018.

Mohd Azlan Iswan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Dia dituduh menerima wang tunai RM400 sebanyak 24 kali daripada seorang penyelia syarikat kontraktor yang didakwa mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat tersebut, melalui pindahan wang ke dalam akaun bank miliknya.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sik itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah bank di Sungai Petani antara 3 Jan 2017 hingga 4 Dis 2018.

Mohd Azlan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, di samping mengarahkannya menyerahkan pasport, selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan menetapkan 2 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan