AM

Uda Komited Pacu Kelestarian Alam Sekitar Melalui Nou Dengan Jpnj

05/03/2024 02:17 PM

JOHOR BAHRU, 5 Mac (Bernama) -- Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset UDA Holdings Bhd (UDA) menerusi anak syarikat, UDA Land South Sdn Bhd dan Angsana Johor Bahru Mall, mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan usaha kelestarian alam sekitar menerusi pemeteraian nota persefahaman (NoU) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata melalui perjanjian strategik tersebut, UDA bersama JPNJ berusaha untuk menerapkan tanggungjawab dan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar serta melindungi sumber alam semula jadi, khususnya kepada warga sekolah dan komuniti setempat.

Menurutnya NoU yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak itu juga menjadi landasan untuk pemerkasaan latihan serta aktiviti yang selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor sekali gus mendukung Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030) di peringkat sekolah.

“Menerusi usaha sama ini, UDA beriltizam untuk menyumbang kepada peningkatan pengetahuan dan kefahaman mengenai kepentingan pembangunan lestari seterusnya membangun kapasiti warga pendidik serta pelajar negeri Johor.

“Apa yang kami harapkan usahasama seperti ini akan timbul kesedaran tentang perlunya amalan kelestarian dan kami harap melalui didikan awal di peringkat sekolah, mereka ini akan lebih faham tentang pentingnya menjaga alam sekitar sebab bila bercakap tentang kelestarian, kami cuba beri yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani NoU antara UDA dan JPNJ di sini hari ini.

Nota tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Operasi UDA Land South Sdn Bhd Muhammad Ismail Dasuki dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad yang disaksikan oleh Mohd Salem serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin.

Mohd Salem berkata NoU tersebut antara lain memfokuskan pada usaha memantau penglibatan dan pelaksanaan program pendidikan kelestarian serta menyelaras pencapaian penurunan karbon peringkat sekolah.

Katanya usaha berkenaan bertepatan dengan misi menanam kesedaran, memberi galakan serta motivasi bagi amalan dan budaya terbaik rendah karbon kepada warga pendidikan di negeri Johor.

Beliau berkata melalui pemeteraian NoU tersebut, UDA turut menyerahkan geran kepada empat "Sekolah UDA Lestari" dari daerah Johor Bahru antaranya Sekolah Kebangsaan Kompleks UDA, Sekolah Kebangsaan Bandar UDA 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar UDA Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru UDA.

Katanya setiap sekolah menerima bantuan berjumlah RM5,000 yang pihak sekolah akan memanfaatkan geran tersebut dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kutipan minyak masak terpakai, kutipan baju terpakai, tanaman pokok atau berkebun dan sebagainya.

“Jalinan strategik antara UDA dan JPNJ itu juga dapat memenuhi lima daripada sembilan matlamat Garis Panduan Pembangunan Lestari (SDG) yang sedang dilaksanakan oleh UDA iaitu (3) Kesejahteraan dan Kesihatan Yang Baik, (5) Kesaksamaan Jantina, (6) Air Bersih & Sanitasi, (11) Komuniti dan Bandar Mampan dan (13) Tindakan dan Perubahan Iklim yang diiktiraf secara global.

“Usaha itu juga bertepatan dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE, akronim bagi ‘Legasi’, ‘Integrasi’, ‘Ketelitian’ dan ‘Memperkasa’ yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaan seterusnya menyambut hasrat meneruskan legasi UDA dengan menumpukan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta memberi penekanan terhadap kesedaran mengenai keseimbangan ekosistem alam semula jadi.

Katanya pelbagai program bakal dijalankan seperti Hari Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor 2024, bengkel latihan berasaskan pembelajaran melalui pengalaman, Experiential Learning-Guru Champion, aktiviti kebajikan melalui sumbangan asnaf pada bulan Ramadan kepada sekolah terpilih dan bengkel pembangunan kapasiti Guru Champion UDA yang akan melibatkan guru-guru melalui empat siri bengkel mengenai pengurusan kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan