JASIN, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang menyusun pelbagai program berkaitan sukan dan belia sepanjang Mei depan termasuk penganjuran sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 dan Fit Malaysia peringkat kebangsaan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka V.P. Shanmugam berkata ia berikutan tema sukan dan belia yang dipilih pada bulan itu bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Selain itu beberapa pertandingan akan diselaraskan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka sebagai persiapan atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan selain kita berhasrat untuk mengadakan program besar lain seperti maraton antarabangsa yang pernah diadakan tahun lepas pada bulan tersebut namun ia masih dalam perbincangan.
"Ini antara usaha yang dilakukan kerana kita mahu pastikan pada setiap hujung minggu terdapat program berkaitan sukan dapat diadakan di negeri ini sekali gus merancakkan kedatangan pelancong... senarai penuh program akan diputuskan akhir April," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2024 yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Shanmugam berkata beliau akan membawa cadangan untuk membina litar lumba baharu di negeri itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka.
Katanya, usaha itu untuk memastikan Melaka mempunyai sebuah litar yang mampu memenuhi kriteria sekali gus menjadi pilihan sebagai tuan rumah penganjuran sukan permotoran.
"Ia adalah cadangan awal dengan sekurang-kurangnya dibangunkan di atas tanah berkeluasan 200 ekar... mungkin lokasi yang sesuai adalah di Jasin," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial