AM

Liam Sumbang Kepada Masyarakat Menerusi Program Vaksinasi Hpv Sempena Ulang Tahun Ke-50

28/02/2024 09:06 PM

IPOH, 28 Feb (Bernama) -- Program Vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) “Leaving No One Behind” merupakan peluang bagi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) untuk menyumbang kepada masyarakat, sempena ulang tahunnya yang ke-50 tahun ini.

Mantan Presiden LIAM Loh Guan Lat berkata pembabitan dalam program itu merupakan sebahagian daripada sumbangan LIAM program untuk kesejahteraan masyarakat, yang boleh membantu kehidupan ramai.

“Program vaksinasi HPV ini adalah sebahagian daripada projek teras kami, yang kami rasakan banyak menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan pelancaran program vaksinasi HPV kebangsaan “Leaving No One Behind” anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin.

Loh berkata objektif program itu adalah untuk meringankan beban penjagaan kesihatan Malaysia dengan mengurangkan risiko kanser serviks kerana ia merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita muda di negara ini.

Beliau berkata ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang HPV dan kanser berkaitan HPV, menekankan kepada kepentingan pencegahan dan pengesanan awal yang boleh menyelamatkan nyawa.

“Kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dalam kalangan wanita dan ia boleh dibanteras. Objektif LIAM adalah untuk mewujudkan kesedaran seperti itu, supaya orang ramai mampu melakukan vaksinasi dan akhirnya anda tidak perlu menderita kanser jenis ini.

"Seperti yang saya katakan ia adalah kesedaran (objektif), dan kami mahu menjadikannya (vaksin) sangat tersedia bagi mereka yang perlu diberi vaksin," katanya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif LIAM Mark S.O’Dell berkata sumbangan kolektif 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula bagi Program Vaksinasi HPV “Leaving No One Behind” telah menjangkau jumlah RM3 juta.

Mark berkata LIAM komited bukan sahaja untuk menyediakan sokongan kewangan tetapi juga untuk bekerjasama rapat dengan NCSM bagi memastikan 100,000 wanita muda yang layak di seluruh negara, menerima vaksinasi.

“Ahli kami juga menawarkan beberapa kemudahan mereka untuk bermesyuarat, dan kesedaran, di seluruh negara bagi membantu membawa masyarakat memahami lebih lanjut mengenai keperluan vaksin.

Program Vaksinasi HPV "Leaving No One Behind" ialah inisiatif khusus yang direka untuk menyediakan vaksin HPV penting kepada kanak-kanak perempuan dalam komuniti yang kurang bernasib baik, luar bandar dan rentan di seluruh negara.

Dengan tumpuan untuk melibatkan, mendidik dan memberi vaksin kepada kanak-kanak perempuan di 162 daerah yang merangkumi 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan, program ini menggunakan pendekatan komprehensif merangkumi komunikasi kesihatan, campur tangan perubahan tingkah laku dan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang cekap.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan